Sabtu , Julai 21 2018
msen
Utama > Kawalan Tembakau > Strategi Cukai Rokok

Strategi Cukai Rokok

Mengapa Orang Merokok?

Orang merokok disebabkan mereka suka merokok dan mampu untuk merokok. Keputusan mereka untuk membeli rokok dipengaruhi oleh harga rokok dan pendapatan mereka. Ahli ekonomi menggambarkan kemampuan sebagai peratusan pendapatan pekerja atau tempoh masa kerja yang diperlukan untuk membeli produk.

Lebih banyak pendapatan yang diperlukan untuk membeli rokok, semakin kurang mampu untuk membeli rokok.Juga, lebih banyak seseorang perlu bekerja untuk mendapatkan wang bagi membeli rokok, semakin kurang permintaan untuk rokok.

Walaupun harga rokok lebih mahal di negara berpendapatan tinggi, secara purata rokok masih mampu dibeli disebabkan pendapatan mereka yang lebih tinggi. Di negara berpendapatan rendah dan pertengahan, rokok secara umum semakin mampu dibeli. Ini disebabkan pembangunan ekonomi dan peningkatan pendapatan per kapita. Pertumbuhan dalam pendapatan purata adalah penyumbang yang ketara kepada lebih banyak permintaan untuk rokok.

Bagaimana untuk Menjadikan Rokok Kurang Berpatutan?

“Jika harga benar rokok tidak meningkat lebih cepat daripada kuasa beli pengguna, tembakau menjadi agak lebih murah dan penggunaan meningkat”. Laporan WHO mengenai wabak tembakau secara global, 2011. Kuasa beli mencerminkan kemampuan untuk membeli sesuatu barang. Jika pendapatan benar meningkat lebih cepat dari harga benar rokok, maka rokok menjadi lebih mampu dibeli. Penggunaan rokok dijangka meningkat. Kaedah terbaik untuk membuat rokok kurang mampu dibeli adalah meningkatkan cukai rokok dan harga rokok.

Cukai Rokok

“Antara cadangan hasil yang telah saya teliti, cukai tembakau adalah menarik kerana mereka menggalakkan perokok untuk berhenti dan tidak menggalakkan orang ramai daripada mula merokok. Ia juga menjana pendapatan yang ketara. Ia adalah situasi menang-menang bagi kesihatan global ” Bill Gate, G20 Summit, Perancis, 2011.

Dari pandangan ekonomi, cukai adalah salah satu kaedah yang efektif untuk menghalang merokok. Kenaikan cukai rokok menyebabkan kenaikan harga rokok. Kenaikan harga rokok mengurangkan penggunaan rokok, mengalakkan perokok untuk berhenti dan mengelak permulaan untuk merokok di kalangan belia.

Terdapat dua jenis cukai eksais: cukai per unit atau cukai ad valorem. Tanpa mengira harga, cukai per unit adalah satu jumlah tetap cukai seperti jumlah tertentu cukai pada setiap pek atau setiap 1000 batang. Cukai ad valorem adalah peratusan nilai produk pada harga runcit. Jenama premium akan membayar cukai yang lebih tinggi daripada jenama yang harga lebih murah seperti jenama generik. Oleh itu, perokok mungkin mempunyai pilihan untuk menggantikan jenama murah. Sebaliknya, jika cukai per unit dikenakan, rokok premium dan rokok yang lebih murah akan membayar jumlah cukai yang sama.

Cukai rokok dikutip dari pengeluar atau pengimport rokok. Terdapat dua struktur cukai yang berbeza untuk rokok domestik dan yang diimport. Cukai eksais setiap batang dikenakan ke atas rokok keluaran tempatan yang dijual di Malaysia, manakala duti import dikenakan ke atas rokok yang diimport. Kedua-dua rokok domestik dan yang diimport adalah tertakluk kepada cukai jualan.

Jadual 1 menunjukkan cukai eksais dan cukai import ke atas rokok meningkat. Walau bagaimanapun cukai jualan kekal pada 15% dari tahun 1990 hingga 1999 dan meningkat ke 25% dari 2001 hingga 2007.

Jadual 1: Cukai Rokok 1990-2012

Tahun

Cukai Import
RM/ kg atau RM/ stick

Nominal Cukai Eksais
RM/ kg atau RM/ stick

CukaiJualan
(%)

1990

85/0.08

13/0.013

15

1991

135/0.12

14/0.014

15

1992-1998

162/0.15

28.60/0.028

15

1999-2000

180/0.16

40/0.039

15

2001

180/0.16

40/0.039

25

2002

216/0.2

48/0.047

25

2003

259/0.24

58/0.056

25

2004

200/0.18

58/0.056

25

2005*

0.20

0.081

25

2006

0.20

0.12

25

2007

0.20

0.15

25

2008

0.2

0.18

25

2009

0.2

0.225

25

2010

0.2

0.26

25

*Cukai spesifik sebatang diperkenalkan (1kg = 1100 batang)
Sumber: Kastam Di Raja Malaysia dan Konfiderasi Tembakau Malaysia;
pelbagai tahun.

Dalam model ekonomi, cukai eksais ke atas rokok akan dialihkan kepada pengguna dalam bentuk harga yang lebih tinggi. Di Malaysia, kenaikan harga runcit rokok adalah lebih dari kenaikan cukai eksais. Ini disebabkan syarikat tembakau perlu mengambil kira faktor lain seperti margin perdagangan, royalti dan inflasi.

Kajian di Malaysia mendapati 10 peratus kenaikan harga rokok mengurangkan permintaan antara empat peratus hingga sembilan peratus [3]. Walaupun lebih tinggi kadar cukai eksais ke atas rokok dan ia berterusan meningkat harga runcit rokok tetapi hanya sedikit penurunan dalam penggunaan rokok.


Rajah 1: Hubungan antara kadar cukai eksais, harga runcit dan penggunaan rokok

Ini menunjukkan permintaan untuk rokok di Malaysia adalah tidak anjal. Permintaan tidak anjal bermakna pengguna kurang responsif kepada perubahan harga. Ia mungkin disebabkan kurang kesedaran terhadap kesan rokok kepada kesihatan, ketagihan dan ketersediaan rokok haram sebagai pengganti.

Hasil Cukai

Walau bagaimana pun selain dari untuk mengurangkan penggunaan rokok, kenaikan cukai rokok meningkatkan hasil cukai. Ia dianggarkan kenaikan 10 peratus cukai rokok menyebabkan kenaikan lebih kurang tujuh peratus hasil kerajaan (World Bank, 1999). Rajah 2 menunjukkan hubungan positif antara kadar cukai eksais ke atas rokok dan hasil cukai yang dijana kerajaan.


Rajah 2: Hasil Cukai dan Kadar Cukai Eksais di Malaysia (1980-2009)

Kenaikan cukai eksais memberi kesan ketara dalam pengurangan penggunaan rokok tetapi permintaan tak anjal kepada rokok akan terus menjana peningkatan hasil cukai tambahan kepada kerajaan. Ini adalah situasi menang-menang kepada pembuat dasar.

Cukai Rokok Optimal

Pada masa ini peratus kadar cukai dari harga runcit rokok adalah hanya kira-kira 52%. Ia masih lebih rendah daripada 65% yang dicadangkan oleh Frame Convention on Tobacco Control (FCTF). Kerajaan sepatutnya terus meningkatkan kadar cukai eksais ke atas rokok. Oleh itu anggaran cukai yang optimum adalah penting. Secara teorinya, jika kadar cukai semasa adalah di bawah paras optimum, kerajaan harus terus meningkatkan kadar cukai eksais ke atas rokok. Kadar cukai yang lebih tinggi bukan sahaja akan terus mengurangkan penggunaan rokok tetapi juga akan menjana lebih banyak pendapatan kepada kerajaan.

Penruntukan hasil yang dijangka daripada cukai rokok optimum boleh disalurkan untuk membiayai beberapa aktiviti kawalan tembakau. Banyak negara telah menggunakan sebahagian daripada hasil daripada cukai rokok untuk menyokong aktiviti anti-merokok; seperti program pendidikan kesihatan, penyelidikan perubatan untuk penyakit berkaitan tembakau dan media kempen anti rokok.

Rujukan

  1. Norashidah M.N, (2011), “Cigarette Demand and Optimal Tax”. PhD. Tesis, FEP, UPM.
  2. WHO (2011), WHO report on the global tobacco epidemic, 2011:warning about the danger of tobacco. http://whqlibdoc.who.int/publications/2011
  3. World Bank. 1999. Curbing the epidemic: governments and the economics of tobacco control. Series: Development in practice. Washington DC: The World Bank, URL: http://www1.worldbank.org/tobacco/reports.htm

 

Semakan Akhir : 7 Februari 2015
Penulis : Dr. Norashidah bt. Mohamed Nor
Akreditor : Prof. Tan Sri Dato’ Dr. Nik Mustafa bin Raja Abdullah

Baca Juga

Merokok Merugikan Negara

Kita selalu mendengar bahawa wawasan negara kita adalah untuk mencapai taraf negara yang maju menjelang …