Sabtu , November 25 2017
msen
Utama > Kesan > Sisa Asap Basi

Sisa Asap Basi

Sememangnya tidak dapat disangkal lagi yang merokok itu sangat berbahaya sehingga boleh membawa maut pada perokok. Di samping itu, asap rokok basi (secondhand smoke) juga telah terbukti mengancam nyawa sesiapa yang berada di sekitar seseorang yang sedang merokok. Namun, tahukah anda bahawa risiko akibat rokok tidak cukup dengan itu sahaja, malah menjangkaui lebih dari itu?

Tiga tahun lalu sekumpulan penyelidik yang terdiri daripada pakar pediatrik dari Amerika Syarikat telah menemui satu lagi ancaman rokok. Dalam kajian mereka, didapati bahawa kesan asap basi tetap berlegar dalam ruangan di mana ia dihasilkan, walaupun beberapa lama selepas rokok dihisap. Dalam tempoh itu, beribu jenis bahan toksik berupa gas dan partikel yang sebelum ini terapung, kini tiada lagi kelihatan. Sebenarnya racun-racun ini (Gambar 1) telah melekat pada tubuh, baju dan rambut perokok. Selain itu, ia juga telah jatuh dan kekal pula pada peralatan, perabot, kusyen serta lantai dan karpet.

Satu perkataan baru mula digunakan bagi merujuk kepada adunan beracun ini, iaitu istilah third hand smoke atau sisa asap basi (SAB). Adunan tersebut telah dikenalpasti antara lainnya mengandungi logam berat (heavy metals), karsinogen atau bahan penyebab kanser dan juga bahan radioaktif.

Rokok dan racun-racunnya

Gambar 1 : Rokok dan racun-racunnya

Sebahagian besar para perokok merupakan ibu, bapa, abang, kakak, datuk dan nenek kepada anak-anak yang masih kecil. Sebagai seorang yang bertanggungjawab dan penyayang, perokok-perokok ini sering membuka tingkap atau memasang kipas, malah ada yang menghisap rokok sama ada di tempat lain atau memilih waktu semasa anak-anak ini tidak hadir bersama. Malangnya apa yang tidak diketahui ialah, jika seorang bapa menyentuh anaknya selepas beliau merokok sungguhpun di tempat atau masa yang lain, beliau masih tetap mengancam kesihatan dan nyawa anaknya akibat berkongsi sisa asap basi yang melekat pada tubuh dan baju si-bapa.

Kajian ini turut mendedahkan bahawa selain melekat pada badan, SAB juga sukar dihapuskan. Ia tetap wujud dikesan walaupun ruang atau bilik di mana seseorang pernah merokok di situ telah dibersihkan.

Menurut pakar, penemuan ini membuktikan rokok membawa ancaman yang sangat serius terhadap golongan bukan perokok, khususnya kanak-kanak kecil dan bayi. Sudah menjadi lumrah bagi kanak-kanak merangkak, bermain dan gemar memasukkan apa saja ke dalam mulut mereka (Gambar 2). Maka dengan cara ini mudahlah racun SAB untuk melekat pada anggota si kecil ini dan kemudian ditelannya.

Bayi merangkak di lantai

Gambar 2 : Bayi merangkak di lantai

Keluarga sihat dan bahagia

Gambar 3 : Keluarga sihat dan bahagia

Sebenarnya walau pun tidak nampak, anda boleh mengesan SAB melalui bau bekas asap yang ditinggalkan perokok setelah dia beredar dari sesuatu lokasi. Deria dalam hidung dan otak anda lebih tahu dan memaklumkan kepada anda bahawa itulah bau bahan toksik dan anda dicadangkan untuk cepat beredar dari situ.

Seharusnya penemuan ini memberi kesedaran kepada semua perokok dewasa terutamanya para ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil. Terdapat banyak bukti tentang bahaya dan keburukan merokok terhadap diri sendiri dan orang lain, lebih-lebih lagi nyawa zuriat yang anda kasihi. Sebagai seorang yang benar-benar bertanggungjawab dan prihatin, berhentilah merokok sekarang. Bersungguh-sungguhlah berusaha dan anggaplah ia sebagai satu kewajipan utama (Gambar 3).

Semakan Akhir : 7 Februari 2015
Penulis : Dr. Zarihah binti Mohd Zain
Akreditor : Dr. Sallehudin bin Abu Bakar

Baca Juga

Peranan Dan Tanggungjawab Ibu Bapa

Di era sains dan teknologi yang semakin mencabar ini, ibu bapa sebagai pemimpin keluarga menghadapi …