Jumaat , September 22 2017
msen

Shisha

Apa Itu Shisha?

Shisha juga dikenali sebagai Hookah, ia merupakan satu peranti/ alat yang direka bentuk bagi tujuan merokok tembakau berperisa yang dikenali sebagai tembakau shisha. Fungsi utama alat shisha ialah untuk memanaskan tembakau shisha dan menyalurkan asap tembakau shisha yang terhasil melalui satu balang air dan seterusnya disedut melalui satu hos yang bersambungan dengan satu alat penyedut (Gambar 1).

Shisha

Gambar 1 : Shisha

Komponen Shisha

Perkakas alat shisha terdiri daripada beberapa komponen asas, iaitu balang air, penyalur asap, cawan tembakau shisha, bekas arang, hos penyedut asap dan alat penyedut. Manakala bahan perisiannya adalah merupakan tembakau shisha atau ‘mu‘assel’ yang datang dalam pelbagai perisa yang dimasukkan ke dalam alat shisha secara berasingan (Gambar 2).

Komponen shishaGambar 2 : Komponen shisha

Sejarah Shisha

Shisha berasal dari zaman empayar Parsi dan budaya merokok shisha telah merebak ke kawasan Asia Tengah dan menjadi popular di negara-negara Arab dan Asia Barat seperti Turki, Pakistan dan India. Aktiviti menghisap shisha bermula di Malaysia semenjak tahun 90-an berikutan kemasukan ramai pelancong dari Asia Timur ke negara ini dan ia semakin menjadi popular khasnya di kalangan orang muda.

Tembakau Shisha

Tembakau shisha merupakan bahan yang penting di dalam merokok shisha. Ia dibuat daripada campuran molasses, daun tembakau, glycerine, buah-buahan, herba atau madu. Tembakau shisha datang dalam pelbagai perisa bergantung kepada bahan yang digunakan, perisa yang biasa termasuk epal, anggur, jambu batu, lemon, pudina dan lain-lain perisa atau campuran buah-buahan. Kebanyakan tembakau shisha berasal dari pengeluar di negara-negara Arab dan diimport ke Malaysia, ada juga peniaga tempatan yang mengadun atau mencampurkan tembakau shisha mereka sendiri.

Kandungan Asap Tembakau Shisha

Analisa tembakau shisha telah mengesahkan bahawa tembakau shisha mengandungi daun tembakau, oleh yang demikian, ianya mengandungi nikotin. Kajian telah menunjukkan bahawa asap shisha mengandungi nikotin, gas karbon monoksida, gas polyaromatic hydrocarbon (PAH) dan tar.

Fungsi Air Di Dalam Alat Shisha

Air di dalam alat shisha digunakan untuk menyejukkan asap daripada pemanasan tembakau shisha. Ramai pengguna yang percaya bahawa air dalam balang tersebut boleh menapis bahan-bahan yang berbahaya daripada asap shisha, namun yang sebenarnya air tersebut hanya menapis atau melarutkan sebahagian kecil gas karbon monoksida, nikotin, tar atau logam berat yang terdapat dalam asap shisha. Contohnya, kurang daripada 5% nikotin yang ditapis larut di dalam air tersebut. Namun begitu, pengurangan nikotin yang sedikit ini biasanya diganti semula dengan perokok menyedut asap shisha dengan lebih dalam atau lebih kerap demi mendapatkan semula nikotin yang ditapis keluar.

Salah Guna Shisha

Terdapat laporan bahawa ada segelintir pengguna shisha telah menyalahgunakan alat shisha untuk menghisap ganja atau bahan-bahan terlarang.

Bahaya Shisha

Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2005 telah menunjukkan bahawa menghisap shisha membawa kepada risiko bahaya kesihatan yang serius dan bukanlah alternatif yang selamat kepada merokok. Secara puratanya, satu sesi biasa menghisap shisha akan berlanjutan selama 45 minit sehingga 1 jam di mana gas karbon monoksida yang terhasil adalah sama dengan jumlah asap yang dikeluarkan oleh 200 batang rokok. Selain daripada itu, asap shisha juga mengandungi nikotin yang merupakan bahan kimia yang boleh menyebabkan ketagihan sama seperti rokok, asap shisha juga mengandungi gas polyaromatic hidrocarbon (PAH) dan tar yang boleh menyebabkan penyakit kanser. Penggunaan shisha boleh menyebabkan penyakit-penyakit yang sama seperti merokok, khasnya penyakit chronic obstructive pulmonary disease (COPD), penyakit kardiovaskular dan strok. Disebabkan tembakau shisha datang dalam pelbagai perisa dan budaya merokok shisha adalah secara berkumpulan dan bersosial, ia menjadi tarikan kepada golongan orang muda.

Prevalens Penggunaan Shisha Di Malaysia

Kajian Global Adults Tobacco Survey yang telah dijalankan di Malaysia pada tahun 2011 telah menunjukkan 0.6% orang dewasa di Malaysia adalah perokok shisha.

Kawalan Shisha

Disebabkan tembakau shisha mengandungi daun tembakau, shisha adalah tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 sama seperti rokok. Sebarang pengiklanan dan promosi jualan shisha adalah dilarang. Penjualan shisha kepada individu di bawah umur 18 tahun juga adalah dilarang. Mana-mana orang yang melanggar undang-undang tersebut boleh didenda sehingga RM 10,000.00 atau individu dipenjara selama 2 tahun.

Bolehkah Saya Menjadi Ketagih?

Disebabkan shisha mengandungi tembakau, menghisap shisha juga mempunyai risiko ketagihan yang sama seperti merokok hasil tembakau yang lain. Kajian terhadap ketagihan shisha telah mendapati bahawa peralihan penggunaan shisha daripada kegunaan sosial kepada penggunaan secara individu, menunjukkan akibat ketagihan kepada shisha.

Semakan Akhir : 7 Februari 2015
Penulis : Ooi Poh Keong
Akreditor : Dr. Zarihah binti Mohd Zain

Baca Juga

Merokok Merugikan Negara

Kita selalu mendengar bahawa wawasan negara kita adalah untuk mencapai taraf negara yang maju menjelang …