Jumaat , September 22 2017
msen
Utama > Kesan > Mengapa Remaja Merokok?

Mengapa Remaja Merokok?

Golongan remaja adalah mereka yang berusia 10 hingga 19 tahun. Mereka merupakan 25% daripada populasi penduduk Malaysia. Para remaja melalui proses peralihan dari alam kanak-kanak ke alam dewasa, iaitu transisi usia penuh cabaran. Pada ketika inilah berlakunya perubahan bentuk tubuh badan dan emosi bagi remaja lelaki dan perempuan. Perubahan hormon dalam badan menyebabkan remaja mempunyai perasaan untuk mencari identiti diri.

Saya bijak, saya pilih tidak merokok

Gambar 1: Saya bijak, saya pilih tidak merokok

Remaja cenderung bergantung kepada kelompok sosial rakan sebaya (Gambar 1). Pengaruh ibu bapa pada fasa ini mulai kurang dan peranan rakan sebaya mengambil tempat utama dalam kehidupan mereka. Mereka ingin berdikari dan memikul tanggungjawab sendiri dan sering teruja mencuba perkara yang tidak pernah dilakukan dan berisiko. Fasa kehidupan sebagai remaja memungkinkan diri keliru, tercari-cari, terjebak dalam mencari diri.

Masukkan Data GYTS (Remaja merokok)

Mengikut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006, mendapati 18.2% remaja berumur 13-15 tahun adalah perokok. Manakala dalam Global Youth Tobacco Survey (GYTS) Malaysia 2009, prevalen merokok ialah sebanyak 18.2% dalam kalangan remaja. Sejumlah 22.8% remaja mula mencuba merokok sejak berumur 10 tahun dan 30.0% pula yang mencuba merokok sebatang atau dua batang rokok.

Beberapa sebab utama telah dikenal pasti sebagai faktor penting remaja terjebak dalam tabiat merokok :

  • Faktor sosial
  • Merokok adalah tabiat yang dipelajari. Ia dianggap sebagai simbol bagi kematangan, kehebatan dan daya tarik kepada golongan berlainan jantina. Kebanyakan remaja mula merokok pada usia lebih muda iaitu ada yang seawal 10 tahun.
  • Rakan sebaya menjadi tempat untuk interaksi sosial dan mengatasi ketakutan, masalah dan kekeliruan. Rakan sebaya juga menjadi tempat mencuba sesuatu benda baru dan di luar daripada batas peraturan.
  • Mengimitasi atau meniru tabiat orang dewasa dan rakan sebaya supaya diterima oleh “geng” dan rakan sebaya. Takut diejek atau diperlekeh oleh kawan-kawan menyebabkan remaja mengambil risiko mencuba. Bermula sebagai perokok sosial akhirnya menjadi perokok tegar akibat ketagihan nikotin. Dengan turut sama merokok, remaja memperoleh pengesahan sosial dan interaksi sesama rakan sekumpulan.
  • Pengaruh media massa dan idola
  • Usia remaja merupakan tempoh individu mencari identiti diri. Pengaruh media massa yang menyiarkan iklan dan cerita yang mengambarkan hero seorang perokok yang hebat memberi gambaran salah kepada remaja bahawa tabiat merokok itu ‘cool’ dan bergaya serta lambang kehebatan.
  • Remaja biasanya akan menjadikan selebriti atau artis sama ada penyanyi, pelakon mahupun pengacara sebagai idola. Mereka ingin menjadi seperti idola dengan meniru apa yang digayakan atau apa yang dilakukan oleh idola mereka.
  • Persekitaran
  • Merokok telah menjadi sebahagian daripada budaya yang diterima oleh masyarakat Malaysia. Ini menjadikan merokok tidak disifatkan sebagai suatu perbuatan yang salah bagi masyarakat. Ini memberi tanggapan kepada remaja bahawa tabiat merokok adalah sesuatu yang baik dan menjadikan naluri ingin mencuba semakin tinggi dalam diri mereka.
  • Rokok mudah dibeli dan dibawa sertaboleh didapati di mana-mana kedai atau kios tanpa mengira tempat.

Kesan buruk akibat asap rokok

 Merokok menyebabkan banyak kesan buruk kepada kesihatan dan kualiti hidup seseorang.

Di antaranya :

  • Risiko 30% lebih tinggi mendapat kanser paru-paru
  • 25% lebih tinggi mendapat penyakit jantung
  • Kurang kesuburan
  • Mudah mendapat asma
  • Lebih terdedah kepada kanser

Jadilah remaja bijak

 Konsep kendiri yang dibina oleh remaja dalam diri masing-masing penting bagi menentukan identiti sosial dan kumpulan. Ia boleh membawa kepada kecenderungan untuk mempunyai tingkah laku yang sama di kalangan remaja dalam sesuatu kumpulan itu.

Kuatkan jati diri dan suarakan hak untuk tidak merokok serta berani mengatakan tidak kepada ajakan merokok. Perokok adalah kumpulan minoriti dalam negara ini. Jadilah majoriti rakyat yang tidak merokok dan hidup lebih sihat dengan memilih cara hidup sihat (Gambar 2).

Hak kami kepada udara bebas daripada asap rokok

Gambar 2 : Hak kami kepada udara bebas daripada asap rokok

Sokongan masyarakat

Tidak merokok perlu menjadi budaya masyarakat yang dibanggakan dan tabiat merokok pula menjadi sesuatu yang tidak diterima dalam kehidupan seharian. Orang tua perlu memainkan peranan dengan menunjukkan contoh yang baik kepada golongan remaja.

Buat pilihan yang betul

 Setiap individu berhak membuat pilihan sendiri. Sebagai remaja yang bijak memilih, tidak merokok adalah pilihan tepat. Tidak merokok mempunyai banyak kelebihan. Antaranya adalah :

  • Penampilan lebih ‘cool’
  • Disukai oleh rakan remaja
  • Mulut dan badan tidak berbau busuk
  • Gigi lebih sihat dan putih
  • Lebih cerdas dan cergas
  • Mudah fokus kepada pelajaran
  • Disukai oleh ibu bapa dan guru

Ekspresikan hak anda

 Remaja boleh berperanan sebagai contoh/ role model kepada rakan sebaya dan kanak-kanak dengan tidak merokok. Remaja sebagai generasi Y perlu berani menyuarakan hak kepada persekitaran bebas daripada asap rokok. Menyuarakan hak kepada udara bersih dengan menjauhi diri daripada terjebak sebagai mangsa asap rokok basi yang membahayakan kesihatan (Gambar 3).

Katakan Tak Nak kepada rokok

Gambar 3 : Katakan Tak Nak kepada rokok

Usia remaja adalah transisi perubahan ke alam dewasa. Jadilah remaja yang bijak membuat keputusan untuk masa depan diri sendiri. Menjauhi diri daripada terpengaruh dengan mencuba tabiat merokok adalah pilihan bijak. Usia remaja hanya sekali dan pastikan pilihan yang dibuat memberi manfaat untuk masa depan.

Rujukan

  1.  Anggaran Penduduk Mengikut Kumpulan Umur dan Jantina Malaysia 2010-2020, Jabatan Perangkaan Malaysia
  2. Bronfenbrenner, U., & Morris, P. A. (1998). The ecology of developmental processes.
  3. Global Youth Tobacco Survey (GYTS) Malaysia 2009
  4. H. B. Hamzah (2000), Kamus Za’ba, Kuala Lumpur. Pustaka Antara Sdn. Bhd. pg 957.
  5. Kajian Kesihatan dan Mobiditi Kebangsaan 2006
  6. Rahsia Remaja, Bahagian Pendidikan Kesihatan, KKM

 

Semakan Akhir : 7 Februari 2015
Penulis : Rosnani binti Kassim
Akreditor : Dr. Zarihah binti Mohd Zain

Baca Juga

Peranan Dan Tanggungjawab Ibu Bapa

Di era sains dan teknologi yang semakin mencabar ini, ibu bapa sebagai pemimpin keluarga menghadapi …