Sabtu , November 25 2017
msen
Utama > Kesan > Realiti Seorang Isteri Perokok

Realiti Seorang Isteri Perokok

Dalam kehidupan berkeluarga, pasangan suami isteri sememangnya perlu menerima kelebihan dan kekurangan masing-masing demi kerukunan dan keharmonian rumahtangga dan untuk membina sebuah keluarga yang bahagia. Justeru itu, sikap bertolak ansur dan hormat-menghormati sangat penting bagi memastikan perasaan, kesihatan dan kesejahteraan pasangan masing-masing sentiasa terpelihara, baik dari aspek fizikal, mental, moral dan material.

Statistik menunjukkan bahawa bilangan perokok lebih ramai terdiri daripada kalangan golongan lelaki, ada baiknya jika kaum lelaki, sama ada yang merokok mahu pun tidak, sesekali diajak memberikan perhatian kepada sikap atau tabiat mereka yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada pasangan, keluarga serta anak-anak, (dalam konteks ini, khususnya tabiat merokok). Ini diharap dapat menimbulkan kesedaran atau mencetuskan hasrat sama ada ingin berhenti atau tidak akan sama sekali mengamalkan tabiat merokok di hati suami demi cinta dan kasih sayang terhadap isteri serta zuriat mereka.

Seseorang perokok biasanya mula mengamalkan tabiat merokok pada usia muda, malahan ketika di bangku sekolah lagi. Apabila meningkat remaja, dewasa sehinggalah berkahwin, kebanyakan mereka sudah pun menjadi perokok tegar apatah lagi masing-masing sudah bekerja, mempunyai wang sendiri dan mampu memperuntukkan sejumlah perbelanjaan untuk tabiat tersebut atas dasar kelaziman walaupun sedar dan mengetahui kesan buruk tabiat tersebut terhadap kesihatan sendiri.

Ke’taksub’an (sebenarnya ketagihan) terhadap tabiat merokok, menyebabkan seorang perokok, merangkap seorang suami (dan dalam banyak keadaan, juga seorang bapa), lazimnya hanya mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan orang di sekelilingnya sehinggakan rokok dianggap, lebih penting dan utama daripada isteri serta anak-anak.

Perokok Pasif

Ramai suami/ bapa yang tidak sedar (atau sedar tetapi tidak peduli) bahawa apabila mereka menyalakan sebatang rokok di depan isteri dan anak-anak, mereka hanya menyedut 25% daripada asap tembakau yang dihisap (kerana puntung rokok mempunyai penapis), tetapi ahli keluarga yang berada berdekatan dengan mereka (perokok pasif) menyedut sebanyak 75% kandungan racun daripada asap tersebut.

Bahaya yang dihadapi oleh perokok pasif lebih tinggi kerana asap yang disedut oleh perokok pasif mengandungi:

  • 2 kali ganda kandungan nikotin
  • 3 kali ganda kandungan tar
  • 5 kali ganda kandungan karbon monoksida
  • 50 kali ganda kandungan bahan kimia merbahaya

Isteri selalunya adalah orang yang paling rapat dengan seorang suami yang merokok. Isteri yang tidak merokok selalunya memang tidak suka dengan tabiat suami yang merokok tetapi dalam banyak keadaan, tiada apa yang mampu dilakukan selain daripada hanya memberi nasihat. Tabiat merokok suami ini menyebabkan isteri perokok berada dalam dilema dan terpaksa menghadapi pelbagai senario yang tidak menyenangkan.

Risiko Penyakit

Antara masalah yang berkemungkinan dihadapi oleh isteri perokok ialah:

  • Melahirkan bayi yang kurang berat badan atau kandungan tidak cukup bulan, sekiranya hamil.
  • Lebih terdedah kepada ancaman menghidap pelbagai jenis kanser.
  • Menghadapi masalah kesuburan dan putus haid lebih awal.

Kesan yang lebih buruk boleh berlaku, sekiranya isteri itu sendiri juga merupakan seorang perokok. Ini kerana wanita mengandung yang merokok berisiko mengalami kesan pembalikan yang berbahaya terhadap kehamilan dan bayi yang dikandung. Selain boleh mendatangkan masalah kepada uri dan keguguran spontan, bayi juga boleh dilahirkan tidak cukup bulan atau meninggal dunia sebaik dilahirkan.

Isteri seorang perokok juga berkemungkinan perlu menjaga anak yang menghidapi pelbagai masalah kesihatan kesan suami/ bapa yang merokok, antaranya:

  • Anak lebih mudah mendapat lelah
  • Anak lebih berisiko mendapat jangkitan paru-paru
  • Pertumbuhan paru-paru kanak-kanak khususnya bayi yang masih kecil mudah terganggu.

Kesan Terhadap Perbelanjaan Keluarga

Suami/ bapa yang merokok semestinya mampu menyedari dan mengalami sendiri bagaimana terjejasnya kemampuan kewangan mereka akibat jumlah perbelanjaan yang besar yang diperuntukkan untuk meneruskan ketagihan terhadap tabiat ini. Ada kalanya, perbelanjaan keluarga untuk sara hidup seharian, membeli makanan, pakaian, peralatan persekolahan, malahan susu dan lampin untuk anak-anak pun turut terjejas dan harus dikorbankan untuk menampung ‘tabiat’ yang sama sekali tidak bermanfaat ini.

Akibatnya, sumber kewangan keluarga yang sememangnya terhad berterusan menjadi masalah. Hendak berbelanja untuk keperluan asas pun tidak mencukupi, apatah lagi untuk menabung untuk masa kecemasan, pendidikan anak-anak dan untuk kehidupan hari tua.

Isteri yang turut sama berjimat dan menyumbang terhadap sumber kewangan keluarga ada kalanya turut makan hati apabila wang yang sepatutnya boleh dilaburkan untuk keperluan yang lebih mendesak, dileburkan untuk kepuasan merokok yang tidak akan pernah padam.

Situasi pastinya menjadi lebih buruk sekiranya ada anak/ ahli keluarga mengalami pelbagai masalah kesihatan akibat tabiat merokok suami. Perbelanjaan keluarga juga sedikit sebanyak pasti akan terjejas apabila sejumlah wang perlu dibelanjakan untuk kos rawatan anak/ahli keluarga yang sakit. Selain wang ringgit, kos masa, tenaga, fikiran dan perasaan ahli keluarga lain yang terpaksa berulang alik ke hospital, menemani, merawat dan lain-lain juga harus diambil kira. Bagi keluarga yang mempunyai taraf ekonomi yang rendah atau sederhana, ini boleh menimbulkan masalah lain dalam keluarga yang boleh menjejaskan keharmonian rumahtangga terutamanya apabila berlaku perselisihan faham antara suami isteri.

Anak-anak adalah harta yang tidak ternilai kepada setiap pasangan suami isteri. Kehadiran anak-anak dalam keluarga membawa kegembiraan dan kebahagiaan kepada ibu bapa. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memberikan anak-anak permulaan yang baik dalam kehidupan mereka. Maka, suami isteri sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab wajib berusaha untuk melindungi dan berhenti meracuni mereka dengan asap rokok.

Risiko Terhadap Hubungan Kelamin

Harus diingat, tabiat merokok juga berkemungkinan boleh menjejaskan hubungan kelamin pasangan suami isteri. Contohnya, isteri seseorang perokok mungkin akan berhadapan dengan dilema gangguan hubungan kelamin kesan suami yang mengalami masalah kegagalan alat kelamin suami untuk berfungsi (mati pucuk) akibat tabiat merokok.

Kebiasaan merokok menyebabkan pegantungan dan ketagihan terhadap nikotin. Nikotin menyebabkan saluran darah ke zakar menjadi sempit dan tersumbat seterusnya mengakibatkan kegagalan alat kelamin suami untuk mencapai ereksi serta melaksanakan fungsi seksual. Kualiti sperma suami akan terjejas, kemampuan mencapai ereksi akan berkurangan dan kemampuan tenaga batin akan menjadi lemah. Maka, seorang suami yang merokok bukan sahaja mesti mengambil berat tentang kepuasan dan kesejahteraan isteri mereka, malahan kesihatan, kesejahteraan dan kemampuan fizikal mereka sendiri. Masalah tenaga batin akan menyumbang kepada ketidakpuasan hubungan suami isteri dan ada kalanya, boleh mengakibatkan keretakan rumah tangga.

Warisan Sikap Dan Tabiat Kepada Anak-Anak

Peribahasa Melayu ‘bapa borek, anak rintik’ ataupun ‘like father, like son’ adalah antara bidalan yang memberikan gambaran bagaimana sikap dan amalan suami/ bapa bakal menjadi contoh dan ikutan anak-anak. Jika sikap baik yang diamal dan ditonjolkan, baiklah pula sikap yang dicontohi oleh anak-anak dan jika sebaliknya, buruklah sikap yang akan diwarisi oleh anak-anak.

Tidak dapat dinafikan bahawa selain desakan rakan (peer pressure), ramai dalam kalangan golongan muda yang mengamalkan tabiat merokok ini mengambil contoh atau meniru sikap atau amalan tersebut daripada suami, isteri atau khususnya, ibu bapa yang merokok. Walaupun ada juga golongan muda yang merokok sedangkan ibu bapa mereka tidak merokok, jumlahnya sangat rendah berbanding mereka yang bapa atau ibunya adalah perokok.

Perokok mengetahui bahawa tabiat merokok adalah tabiat yang tidak sihat, memudaratkan dan tidak berfaedah sama sekali tetapi apabila mereka sendiri tidak mampu meninggalkan atau mengelakkan dari mengamalkan tabiat berkenaan, mereka tidak mempunyai alasan untuk melarang, menjauhkan atau memarahi anak-anak yang mula merokok. Bagaimana bapa yang merokok ingin memarahi anaknya merokok sedangkan dia sendiri merokok di hadapan anak tersebut sejak anak itu kecil? Bukankah itu ibarat ‘kuali mengata belanga hitam’?

Dewan Siswa, Edisi November 2010
Sumber: Dewan Siswa, Edisi November 2010

Tentunya ramai isteri/ ibu yang kecewa sekiranya mendapat panggilan telefon daripada guru di sekolah memaklumkan bahawa anaknya, tidak kira lelaki ataupun perempuan, ditangkap menghisap rokok di tandas sekolah. Puas sudah si ibu menasihati dan berusaha mendidik anak tersebut supaya jangan sampai terikut dengan tabiat merokok suami/ bapa, tetapi apakan daya. Mungkin nikotin yang dihembus berdekatan anak tersebut sejak zaman kecilnya sudah meresap ke dalam darahnya mengakibatkan si anak ketagihan sejak sekian lama dan sejurus meningkat alam remaja, kecenderungan untuk mula cuba merokok pun tidak tertahan lagi.

Mudah-mudahan ramai suami/ bapa yang mengambil iktibar tentang hal ini dan memberi perhatian kepada bebelan yang selama ini dileterkan oleh isteri. Sayangilah isteri dan anak-anak anda. Jadikan rumah dan ruang persekitaran anda BEBAS ASAP ROKOK.

Rujukan

  1. www.infosihat.gov.my
  2. www.tekno.kompas.com
  3. www.quitsmoking@about.com
Semakan Akhir : 7 Februari 2015
Penulis : Noorlaile binti Jasman
Akreditor : Norddin bin Daud

Baca Juga

Peranan Dan Tanggungjawab Ibu Bapa

Di era sains dan teknologi yang semakin mencabar ini, ibu bapa sebagai pemimpin keluarga menghadapi …