Sabtu , November 25 2017
msen
Utama > Kesan > Perokok Sebagai Golongan Minoriti

Perokok Sebagai Golongan Minoriti

Malaysia sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Sebagai sebuah negara yang berbilang bangsa, agama, pelbagai keturunan, suku kaum dan sebagainya, masyarakat majmuk di Malaysia sentiasa mempraktikkan sifat toleransi yang tinggi terhadap persamaan mahupun perbezaan masing-masing baik terhadap golongan majoriti mahupun minoriti. Sikap inilah yang menjadi asas kepada kejayaan kita membentuk identiti bangsa Malaysia yang bersatu-padu, aman dan saling bekerjasama. Keistimewaan setiap pihak yang dilindungi melalui perlembagaan dan undang-undang turut membantu memastikan bahawa kesaksamaan dapat dilaksanakan bagi meminimakan rasa tidak puas hati suatu pihak.

Jika diperhatikan, prinsip serupa telah diaplikasikan oleh masyarakat dan kerajaan dalam menangani hak dan keperluan anggota masyarakat yang tidak merokok serta golongan perokok. Contohnya, memandangkan bilangan anggota masyarakat yang tidak merokok adalah lebih ramai berbanding dengan yang merokok, hak kedua-duanya dilindungi dengan penetapan kawasan tertentu seperti tempat awam dan bangunan tertutup sebagai kawasan larangan merokok manakala golongan merokok diperuntukkan dengan ruang atau sudut khas untuk merokok.

Walaupun segelintir golongan perokok merasakan undang-undang sebegini bersifat prejudis terhadap tabiat mereka, harus diingat, asap rokok yang dilepaskan oleh mereka turut menjejaskan kebersihan udara di persekitaran mereka yang turut dihidu oleh orang lain seterusnya menimbulkan kerumitan kepada masyarakat khususnya golongan yang tidak merokok. Maka sedikit sebanyak, golongan perokok harus bertolak ansur dan akur bahawa kepentingan majoriti masyarakat haruslah dihormati dan diambilkira demi keselamatan, kesihatan dan keselesaan bersama.

Dalam konteks agama Islam, mendahulu atau mengutamakan kepentingan khalayak yang lebih ramai ini dikenali sebagai prinsip ‘maslahah’.

Bagaimanapun, kesedaran untuk mematuhi larangan merokok di tempat awam atau mana-mana kawasan yang dikhaskan di Malaysia masih rendah dalam kalangan perokok di Malaysia. Apatah lagi, penguatkuasaan yang lemah, sambil lewa dan kurang bersungguh-sungguh oleh pihak berkuasa menyebabkan undang-undang sebegini kerap dipandang enteng oleh golongan perokok. Lebih teruk lagi, kebanyakan anggota penguatkuasaan yang diharap atau diamanahkan untuk melaksanakan undang-undang tersebut sendiri ramai yang terdiri daripada kalangan perokok. Akibatnya, ramai yang masih dengan selamba merokok di tempat awam dan angkuh dengan tidak mempedulikan teguran mahupun pandangan sinis anggota masyarakat yang kurang selesa dengan tabiat mereka.

Memetik kata seorang cendekiawan, Edmund Burke: “The only thing necessary for thetriumph of evil is for good men to do nothing” (Kejahatan akan menang hanya kerana orang yang baik tidak melakukan apa-apa).”

Mentaliti sebahagian besar anggota masyarakat di Malaysia yang enggan memperjuangkan hak mereka untuk menghirup udara yang bersih menyebabkan mereka lebih rela mendiamkan diri dan bersabar dengan perokok di tempat awam, asalkan tidak dianggap ‘poyo’, ‘kepoh’ dan sengaja mencari gaduh atau ‘cari pasal’. Walaupun golongan yang tidak merokok jauh lebih ramai, keengganan mereka melibatkan diri dalam usaha memperjuangkan isu ini menyebabkan golongan perokok yang minoriti mengambil kesempatan sehingga kelihatan semakin bongkak dan mementingkan diri tanpa mempedulikan kesihatan, keselamatan dan keselesaan orang lain.

Situasi ini berbeza sama sekali di negara-negara maju di mana mentaliti rakyatnya lebih kuat untuk menegur mana-mana individu yang dilihat melanggar hak dan privasi orang lain termasuk bagi tabiat peribadi yang dianggap kecil seperti merokok di tempat awam. Kesedaran sivik dan keprihatinan masyarakat di negara-negara maju ini menjadikan perokok sebagai golongan minoriti yang didiskriminasi secara tidak rasmi kerana mereka sentiasa perlu meminta keizinan dan mengambil kira keselesaan orang lain sekiranya ingin menyalakan rokok, bukan sahaja di tempat awam, malahan di rumah sendiri, ketika bersama rakan serta ahli keluarga yang tidak merokok.

Kegagalan mengambilkira keselesaan dan meminta persetujuan orang lain sebelum menyalakan rokok dianggap sebagai suatu sikap yang biadap dan boleh menyebabkan perokok ditegur dan dicemuh oleh ahli keluarga, rakan mahupun anggota masyarakat yang lain.

Perokok yang enggan mematuhi budaya ini juga berisiko ditegur secara langsung, terang-terangan, beramai-ramai dan bertubi-tubi sehingga mereka menjadi malu dan mungkin meninggalkan premis atau tempat awam berkenaan.

Justeru, walaupun tanpa penguatkuasaan undang-undang yang ketat, sikap masyarakat yang prihatin, tegas dan proaktif dalam menegakkan hak masing-masing untuk menghidu udara segar dapat mendesak golongan perokok supaya lebih menghormati hak dan keperluan anggota masyarakat yang lain untuk menghirup udara segar yang bersih daripada asap rokok.

Kesedaran sivik yang tinggi seperti inilah yang harus diadaptasi dan dipraktikkan dalam kehidupan masyarakat di Malaysia, baik dalam kalangan yang tidak perokok mahupun perokok itu sendiri.

Terdapat juga negara yang begitu tegas menguatkuasakan undang-undang kawasan larangan merokok melalui tindakan undang-undang, saman dan hukuman yang berat terhadap sesiapa yang melanggar arahan tersebut. Bagaimanapun, adalah lebih baik sekiranya semua pihak, baik penguatkuasa undang-undang mahupun anggota masyarakat sama-sama menjalankan peranan untuk memastikan bahawa peraturan kawasan larangan merokok sentiasa dipatuhi bagi memastikan kejayaan dan kebaikan bersama.

Ibarat pepatah Melayu, “Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang lembu menguak”, perokok tegar di Malaysia yang begitu angkuh melanggar undang-undang ketika di negara sendiri, pandai pula mematuhi dan menghormati undang-undang serupa ketika berada di negara orang. Tahu pula menjaga adab sebagai tetamu kerana takut malu sekiranya ditegur atau disaman oleh ‘tuan rumah’. Malangnya, sikap hipokrit mereka mengakibatkan kesedaran sivik sebegini hanya bersifat sementara dan ‘penyakit’ lama berulang semula sebaik sahaja mereka kembali ke negara ini.

Alangkah eloknya sekiranya kesedaran sedemikian diteruskan dan dicontohi pula di negara ini sehingga masyarakat Malaysia secara amnya mampu menangani isu hak perokok dan bukan perokok secara matang dan tertib sebagaimana yang diamalkan di kebanyakan negara maju. Biarpun sukar, mudah-mudahan impian untuk melihat keadaan ini terlaksana dapat dicapai menjelang tahun 2020.

Golongan perokok di Malaysia juga masih ramai yang tidak menyedari (atau sedar tetapi tidak peduli) bahawa asap rokok yang dihembuskan oleh mereka lalu dihidu oleh orang lain sama ada orang dewasa, kanak-kanak mahupun bayi kecil akan menyebabkan orang tersebut menjadi perokok pasif. Ketika perokok menghidu 25% daripada kandungan racun daripada rokok (mereka bernasib baik kerana setiap batang rokok mempunyai penapis), perokok pasif sebaliknya terpaksa menghidu baki 75% kandungan racun yang terdapat di dalam asap rokok tersebut.

Kesedaran mengenai perkara inilah yang menguatkan lagi kesungguhan anggota masyarakat di negara maju untuk memastikan perokok menghormati hak orang lain untuk menghirup udara segar yang bersih daripada dicemari asap rokok kerana kandungan asap rokok sememangnya beracun, memudaratkan kesihatan dan meningkatkan risiko penyakit-penyakit yang boleh membawa maut seperti kanser serta serangan jantung.

Dalam erti kata lain, perokok dan asap rokok dilihat sebagai suatu ancaman dan perlu sentiasa diawasi dengan tanggapan prejudis demi kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan diri masing-masing.

Tabiat merokok juga boleh mendatangkan bahaya khususnya di kawasan yang mudah terbakar seperti stesen minyak, kawasan belukar dan lalang yang kering pada musim kemarau atau sebagainya. Justeru, perokok sebagai golongan minoriti harus menyedari bahawa merokok di kawasan-kawasan tersebut boleh mengakibatkan kebakaran yang boleh mendatangkan, bukan sahaja kehilangan, kerugian dan kemusnahan harta benda yang besar malahan membahayakan keselamatan dan nyawa orang lain dan diri mereka sendiri.

Perokok juga harus sedar bahawa merokok di dalam bangunan tertutup atau berhawa dingin seperti di panggung wayang, kelab-kelab hiburan dan sebagainya juga boleh mendedahkan orang lain di sekitar mereka kepada risiko menjadi perokok pasif. Sekiranya mereka merokok di pejabat dan bilik hotel, kesan asap rokok akan melekat pada kain langsir, cadar, bantal, perabut fabrik dan sebagainya walaupun lama selepas perokok tiada lagi di situ, sehingga memberi kesan buruk kepada orang lain yang masuk ke bilik tersebut.

Perokok yang mempunyai sikap tidak peduli ini sama sekali tidak menghormati orang lain, tidak bertanggungjawab dan hanya mementingkan diri mereka sendiri sahaja. Oleh itu, wajarlah pula sekiranya orang lain juga tidak peduli dan menghormati mereka.

www.CartoonStock.com2Sumber: www.CartoonStock.com

Kesimpulan

Majoriti rakyat Malaysia adalah bukan perokok. Oleh itu, apabila kerajaan mengumumkan kenaikan harga rokok saban tahun, tidak ramai yang membantah dan jauh sekali menganjurkan mogok besar-besaran bagi membantah kenaikan tersebut. Ini adalah kerana perokok hanyalah golongan minoriti yang tidak mempunyai suara untuk membantah segala keputusan yang dibuat oleh Kerajaan berkaitan dengan rokok.

Justeru, sebagai golongan minoriti, wajarlah golongan perokok menonjolkan sikap berhemah dan sedar diri sebagai minoriti. Jangan sesekali mencabar dan menguji kesabaran majoriti masyarakat yang bukan perokok kerana kesudahannya, perokok juga yang akan rugi.

Walaupun berbeza sikap dan pandangan tentang tabiat merokok, marilah kita saling hormat-menghormati, mematuhi undang-undang dan membentuk kesedaran sivik demi kebaikan semua.

 Rujukan

  1. brainyquote.com
  2. www.tekno.kompas.com

 

Semakan Akhir : 7 Februari 2016
Penulis : Noorlaile binti Jasman
Akreditor : Norddin bin Daud

Baca Juga

Mengapa Remaja Merokok?

Golongan remaja adalah mereka yang berusia 10 hingga 19 tahun. Mereka merupakan 25% daripada populasi …