Sabtu , November 25 2017
msen
Utama > Kawalan Tembakau > Percukaian Dan Penggunaan Hasil Tembakau

Percukaian Dan Penggunaan Hasil Tembakau

Cukai rokok dipungut daripada pengilang rokok atau pengimport rokok. Terdapat dua struktur cukai yang berbeza ke atas rokok domestik dan import. Cukai eksais bagi setiap batang dikenakan ke atas rokok keluaran domestik yang dijual di Malaysia, manakala cukai (duti) import dikenakan ke atas rokok yang diimport. Selain itu kedua-dua rokok domestik dan yang diimport adalah tertakluk kepada 25% cukai jualan.

Pada masa ini, cukai eksais ke atas rokok adalah 52% atau 26 sen sebatang daripada harga runcit. Cukai eksais ini masih lebih rendah daripada 65% yang dicadangkan oleh Konvensyen Kerangka Kawalan Tembakau (WHO-FCTC). Jadual 1 menunjukkan kadar cukai rokok yang dikenakan oleh kerajaan Malaysia dari tahun 1990 sehingga 2010.

Jadual 1 : Cukai rokok 1990 – 2010

Tahun Duti Import (RM/ kg atau RM/ batang) *Cukai Eksais Nominal (RM/ kg atau RM/ batang) Cukai Jualan (%)
1990 85/ 0.08 13/ 0.013 15
1991 135/ 0.12 14/ 0.014 15
1992-1998 162/ 0.15 28.60/ 0.028 15
1999-2000 180/ 0.16 40/ 0.039 15
2001 180/ 0.16 40/ 0.039 25
2002 216/ 0.2 48/ 0.047 25
2003 259/ 0.24 58/ 0.056 25
2004 200/ 0.18 58/ 0.056 25
2005* 0.20 0.081 25
2006 0.20 0.12 25
2007 0.20 0.15 25
2008 0.2 0.18 25
2009 0.2 0.19 25
2010 0.2 0.22 25

*Cukai eksais setiap batang diperkenalkan (1 kg = 1100 batang). Sebelum 2005, cukai eksais ke atas rokok dikenakan ke atas berat rokok (per kg)

Sumber : Kastam Diraja Malaysia dan Gabungan Tembakau Malaysia (CMTM), pelbagai tahun.

Jadual di atas menunjukkan cukai eksais dan duti import yang dikenakan ke atas rokok adalah meningkat, walau bagaimanapun cukai jualan tetap pada 15% dari 1990 hingga 1999 dan meningkat kepada 25% dari 2001 hingga 2010.

Daripada perspektif ekonomi, satu daripada kaedah yang efektif untuk mengurangkan penggunaan rokok adalah menerusi cukai (Chaloupka et al. 2000). Kajian yang dijalankan oleh Norashidah (2012) mendapati kenaikan 1% cukai eksais ke atas rokok mengurangkan 3.9% penggunaan rokok dalam jangka pendek dan 7% dalam jangka panjang.

Terdapat beberapa sebab untuk menaikkan cukai eksais rokok seperti meningkatkan kesihatan masyarakat, melindungi kanak-kanak dan remaja, meningkatkan hasil kerajaan dan memperbetul kesan luaran.

Ahmad dan Franz (2008) membuat kesimpulan, harga rokok yang lebih mahal menerusi kenaikan cukai akan mengurangkan kekerapan merokok, meningkatkan kesihatan masyarakat, menyebabkan keuntungan bersih hasil cukai bagi kerajaan, dan mengurangkan kos perubatan.

Hasil Cukai Rokok

Kerajaan Malaysia mendapat sejumlah besar wang daripada penglibatannya dalam industri tembakau. Pada tahun 2010, hasil daripada cukai eksais rokok adalah 2% daripada jumlah hasil keseluruhan cukai eksais yang dipungut oleh kerajaan.

Rajah 1 menunjukkan hubungan antara cukai eksais ke atas rokok dan hasil cukai yang dijana oleh kerajaan. Rajah tersebut menunjukkan bahawa kenaikan cukai eksais ke atas rokok yang dikenakan oleh kerajaan menyumbang kepada peningkatan yang berterusan dalam hasil cukai.

Hasil Cukai vs Cukai Eksais

Rajah 1 : Hasil Cukai vs Cukai Eksais

Sumber : Kastam Diraja Malaysia; pelbagai tahun

Peruntukan Hasil Cukai

Dalam usaha untuk memaksimumkan kesan cukai dan seterusnya mengurangkan tabiat merokok, kerajaan perlu memperuntukkan hasil cukai secara efektif bagi progam dan strategi kawalan tembakau. Hasil yang dikutip daripada percukaian haruslah disasarkan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kesan tabiat merokok, untuk mengurangkan penggunaan tembakau secara besar-besaran dan untuk mengurangkan penyakit dan kematian yang berkaitan dengan tembakau.

Kebanyakan negara telah menggunakan sebahagian hasil daripada cukai rokok untuk menyokong aktiviti antimerokok, seperti program pendidikan kesihatan, penyelidikan perubatan ke atas penyakit yang berkaitan dengan tembakau dan menyokong kempen media antimerokok.

Di Malaysia, sebagai contoh, kerajaan telah melaksanakan strategi promosi kesihatan menerusi media massa iaitu kempen antimerokok “TAK NAK”. Kempen ini telah direka dengan tujuan untuk:

  1. Memberi kesedaran tentang bahaya merokok.
  2. Menggalakkan perokok agar berhenti merokok.
  3. Mengekalkan hasrat bukan perokok (khususnya remaja agar tidak mula merokok).

Rujukan

  1. Ahmad, S. & Franz, G.A. (2008). Raising taxes to reduce smoking prevalence in the USA: A simulation of the anticipated health and economic impacts. Public Health,122,
  2. Chaloupka, F.J., Hu, T., Warner, L.E., Jacobs, R., &Yurekli, A. (2000). The Taxation of Tobacco Products. In: Jha P, Chaloupka FJ, ed. Tobacco Control in Developing Countries, Oxford: Oxford University Press, Ch 10.
  3. Munshi Abdullah (2010). Anti-smoking Campaign, power point presentation, Health Education Communication Centre (HECC), Ministry of Health Malaysia.
  4. Norashidah M.N (2012). Cigarette Demand in Malaysia. UPM Press. Serdang

 

Semakan Akhir : 7 Februari 2017
Penulis : Dr. Norashidah binti Mohamed Nor
Akreditor : Prof. Tan Sri Dato’ Dr. Nik Mustafa

Baca Juga

Merokok Merugikan Negara

Kita selalu mendengar bahawa wawasan negara kita adalah untuk mencapai taraf negara yang maju menjelang …