Sabtu , November 25 2017
msen
Utama > Umum > Peranan Ibu Bapa > Peranan Ibu Bapa Sebagai Role Model Untuk Mendidik Anak Yang Sihat Dan Cemerlang

Peranan Ibu Bapa Sebagai Role Model Untuk Mendidik Anak Yang Sihat Dan Cemerlang

 Peranan_IbuBapa_Sebagai_Role_Model_1

Gambar 1 : Berdoa demi keluarga satu bentuk amalan positif

Sabda Rasul S.A.W “Ajarilah anak-anak kamu dan keluarga kamu kebaikan dan lengkapkanlah mereka dengan adab susila..” Riwayat Abd Razzak dan Said Mansur.

Peribahasa menyatakan, “Getah daun akan mengalir ke batang jua,” menunjukkan bahawa anak-anak sudah pasti menuruti ibu bapa dalam hal tingkah laku dan sikap. Mengambil iktibar daripada peribahasa tersebut, amatlah penting kepada ibu bapa untuk memupuk anak-anak dengan segala bentuk amalan yang positif (Gambar 1) seperti amalan berjimat cermat, kebersihan, amalan cara hidup sihat dan budaya hormat-menghormati. Pelbagai langkah dan inisiatif perlu dilagangkan oleh ibu bapa agar anak-anak akan lahir daripada acuan tingkah laku yang baik yang dijanakan oleh ibu bapa. Hal sama pasti boleh dilaksanakan untuk melahirkan anak-anak yang sentiasa mementingkan kebersihan dan gaya hidup sihat dalam kehidupan seharian. Lihat sahaja Sabda Rasul S.A.W yang menyarankan agar ibu bapa bertanggungjawab dalam melengkapkan anak-anak dengan ilmu dan pengetahuan yang baik bagi menjadikan anak-anak insan yang soleh dan solehah.

Anak ibarat kain putih yang bersih, ibu bapalah yang membentuk anak-anak sama ada menjadi Yahudi, Nasrani ataupun Majusi. Demikian juga yang ditegaskan oleh pendakwah bebas Ustazah Siti Nor Bahyah Mahmood dalam mendidik anak-anak. “Anak-anak merupakan dominan terhadap ibu bapa, guru dan juga para selebriti. Namun paling penting ialah ibu bapanya kerana pendidikan awal bermula dari rumah. Pendek kata apa saja yang dilakukan oleh si ibu mahu diturutinya. Kalau dalam aspek sebegini anak-anak mahu mencontohi ibu bapa mereka maka, pastinya mereka cuba mencontohi aspek lain-lain juga.” “Sebab itu ada pepatah yang menyebut bapa borek anak rintik, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi dan lain-lain. Semua ini membuktikan bahawa kalau anak-anak bermasalah maka faktor utama yang perlu dilihat terlebih dahulu ialah ibu bapa mereka.”Ujar Ustazah Bahyah.

Apa yang ingin ditekankan di sini adalah mentaliti ibu bapa sekarang yang terlalu bersifat ambil mudah dan tidak mahu melibatkan diri secara langsung dalam perkembangan sahsiah mahupun akademik anak-anak mereka. Adakah ibu bapa sekarang terlalu sibuk hinggakan urusan atau tanggung jawab utama mendidik anak-anak diabaikan? Peranan ibu bapa amatlah diharapkan untuk membentuk generasi muda sekarang yang terdedah kepada gejala negatif luar kawal yang mana jika tidak dicegah akan mendatangkan kemudaratan yang serius kepada mereka dan institusi keluarga.

Jika dilihat kepada masalah sosial yang berlaku di kalangan generasi muda sekarang, kebanyakannya adalah disebabkan oleh kelonggaran ibu bapa dalam mengawal tingkah laku serta perhubungan anak-anak mereka. Memanglah banyak faktor yang mendorong kepada permasalahan ini tetapi ini semua dapat dikawal jika ibu bapa mempunyai pengetahuan dalam kaedah mendidik dan mengawal tingkah laku anak-anak.

Ibu bapa sepatutnya menjadi role model untuk dicontohi anak-anak mereka terutama daripada segi mengamalkan gaya hidup sihat dan penampilan diri yang kemas dan ceria, namun begitu pada hari ini, kita dapati ramai di kalangan ibu bapa yang menunjukkan perlakuan yang tidak baik yang boleh mempengaruhi pemikiran dan tumbesaran anak-anak seperti perlakuan menghisap rokok, meminum minuman keras, menagih dadah, bersikap ganas, malas untuk bersenam, mengamalkan gaya hidup yang sedentari dan sebagainya (Gambar 2).

Peranan_IbuBapa_Sebagai_Role_Model_3Peranan_IbuBapa_Sebagai_Role_Model_2

Gambar 2 : Pengambilan makanan berlemak dan berminyak menyebabkan tumbesaran anak menjadi tidak sihat.

Dalam arus era globalisasi ini, kebersihan menjadi salah satu elemen utama yang membawa kepada pelbagai jenis jangkitan di seluruh dunia. Saban hari, kita telah dinasihatkan supaya menjaga kebersihan diri agar kita tidak mudah dijangkiti penyakit. Masyarakat pada hari ini dilihat mengambil mudah dan tidak peka dengan kebersihan persekitaran mereka bahkan kebersihan mereka sendiri. Disebabkan itulah jangkitan seperti H1N1, demam denggi, keracunan makanan, demam kepialu dan lain-lain mudah merebak disebabkan oleh kealpaan masyarakat kini. Tun Dr. Mahathir Mohamad, Mantan Perdana Menteri Malaysia Ke-4, pernah bersuara, “Untuk melahirkan masyarakat yang sihat, aktif dan proaktif, kebersihan perlu dititikberatkan. Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan utama dalam memastikan anak-anak mengamalkan nilai kebersihan dalam kehidupan agar dapat melahirkan generasi yang sihat pada masa hadapan.”

Ibu bapa perlu memastikan anak-anak mengamalkan nilai kebersihan dalam kehidupan dengan mendidik mereka sejak kecil mengenai nilai kebersihan. Dewasa kini, terdapat segelintir ibu bapa yang tidak menitikberatkan tentang nilai kebersihan pada anak-anak mereka. Bahkan ada juga ibu bapa yang berasakan bahawa anak mereka sudah dewasa dan dapat membezakan antara kebersihan dan kekotoran. Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana kita tidak tahu bila penyakit akan datang menyerang kita jika kebersihan tidak diamalkan. Disebabkan hal inilah ibu bapa perlu sedar bahawa kebersihan itu amat penting buat anak-anak bagi menjamin masa depan yang bersih, sihat dan harmoni. Seperti peribahasa “melentur buluh biarlah dari rebungnya”, ibu bapa perlu mengamalkan prinsip ini dan mendidik anak-anak mereka tentang kebersihan sejak kecil kerana apabila mereka ini sudah dewasa mereka akan menjadi lebih sukar untuk dididik. Tuntasnya, ibu bapa perlulah mendidik anak-anak mereka tentang kebersihan di usia muda supaya nilai ini menjadi salah satu prinsip dalam diri mereka.

Peranan_IbuBapa_Sebagai_Role_Model_4Peranan_IbuBapa_Sebagai_Role_Model_5 

Gambar 3 : Membasuh tangan dengan betul dapat menghindar diri daripada virus dan bakteria yang tersembunyi di tapak tangan.

Sumber : http://h1n1.moh.gov.my/risalah/Wash/Ris_BasuhTangan_BM/Ris_BasuhTangan_BM_web.

Ibu bapa hendaklah menjadi suri teladan buat anak-anak mereka dalam mengamalkan nilai kebersihan dalam kehidupan mereka. Hal ini disebabkan anak-anak selalu mengikuti perbuatan yang dilakukan oleh ibu bapa mereka tidak kira sama ada perbuatan itu baik ataupun sebaliknya. Oleh itu, ibu bapa merupakan orang penting dalam proses pembelajaran zuriat mereka, dengan itu mereka perlulah menunjukkan contoh yang terbaik buat anak-anak mereka. Salah satu contoh yang boleh ditunjukkan oleh ibu bapa adalah dengan mempraktikkan amalan kebersihan di hadapan anak-anak. Contohnya, membuang sampah di tempat yang sepatutnya, basuh tangan sebelum dan selepas makan (Gambar 3), tutup mulut ketika batuk atau bersin dan banyak lagi. Hal ini bertepatan dengan peribahasa Melayu iaitu “bagaimana acuan, begitulah hasilnya”, itulah yang boleh digambarkan sekiranya ibu bapa menunjukkan amalan yang baik di hadapan anak-anak.

Peranan ibu bapa juga perlu bagi memastikan anak-anak mengamalkan nilai kebersihan dalam kehidupan dengan cara mengamalkan gotong-royong membersihkan kawasan rumah bersama seisi keluarga. Melalui cara ini, anak-anak akan mengerti kepentingan kebersihan itu tersebut. Aktiviti ini bukan sahaja dapat mempraktikkan amalan kebersihan dalam kehidupan, malahan juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim seisi keluarga di samping dapat menyihatkan tubuh badan. Aktiviti ini tidak semestinya dilakukan setiap hari, tetapi boleh juga dilakukan secara berkala seperti dua minggu sekali ataupun pada lain-lain waktu. Cogan kata “Kebersihan Adalah Tanggungjawab Bersama” harus didukungi oleh semua orang.

 Peranan_IbuBapa_Sebagai_Role_Model_6Peranan_IbuBapa_Sebagai_Role_Model_7

Gambar 4 : Amalan gotong-royong dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dan membentuk sahsiah yang baik di kalangan anak-anak.

Ibu bapa merupakan perancang utama dalam memastikan anak-anak mengamalkan nilai kebersihan dalam kehidupan mereka. Amalan kebersihan ini amatlah penting bagi seseorang individu, kumpulan masyarakat dan sesebuah negara (Gambar 4). Sebuah negara yang maju dan proaktif berakarkan masyarakat mereka yang sihat dan cergas serta mereka ini pula mengamalkan kebersihan dalam kehidupan seharian. Untuk itu, ibu bapa perlulah mendidik anak-anak supaya kebersihan diamalkan bagi melahirkan sebuah generasi yang sihat dan positif pada masa hadapan.

Sesungguhnya, tepatlah kata-kata bahawa, apabila anak-anak diajar erti kasih sayang mereka akan belajar mengasihi, apabila diajar erti kebaikan mereka akan belajar bertanggungjawab, dan apabila mereka diajar erti kebersihan mereka akan belajar menjadi harmoni. Oleh itu, ibu bapa sentiasa menjadi sumber rujukan dan terminologi utama untuk menentukan jati diri anak-anak. Jika baik perihal yang ditunjukkan, justeru baiklah anak-anak.

Rujukan

  1. http://h1n1.moh.gov.my/risalah/Wash/Ris_BasuhTangan_BM/Ris_BasuhTangan_BM_web.pdf
  2. Raudhah Child Development Centre. Projek Raudhah KTD. 2010. m/s 2

 

Semakan Akhir : 7 Februari 2015
Penulis : Safruddin bin Sahalan
Akreditor : Azman bin Mohammed