Jumaat , September 22 2017
msen
Utama > Kesan > Ibu Bapa > Peranan Dan Tanggungjawab Ibu Bapa

Peranan Dan Tanggungjawab Ibu Bapa

Di era sains dan teknologi yang semakin mencabar ini, ibu bapa sebagai pemimpin keluarga menghadapi cabaran yang hebat bagi memastikan anak-anak dan ahli keluarga dapat dibesarkan dalam suasana yang aman, harmoni, sihat dan selamat – baik ketika berada di rumah mahupun di luar rumah. Salah satu cabaran yang harus ditangani oleh ibu bapa dalam memastikan keselamatan dan kesihatan anak-anak ialah:

  • Menghindari anak-anak daripada mula menghisap rokok,
  • Menjauhi anak-anak daripada pencemaran asap rokok yang boleh menjadi punca pelbagai penyakit berbahaya dan boleh membawa maut.

Pendidikan

Peranan ibu bapa sangat penting dalam membentuk keperibadian anak-anak kerana didikan dan pengaruh yang diterima oleh mereka sepanjang proses pembesaran inilah yang akan menentukan sikap serta tingkah laku mereka apabila dewasa.

Selain daripada pengetahuan dan maklumat yang diterima oleh anak-anak daripada guru-guru di sekolah, rakan sebaya, media massa dan internet, didikan ibu bapa serta ahli keluarga memainkan peranan penting dalam membentuk sikap anak-anak terhadap tabiat merokok juga tindak balas mereka terhadap pencemaran yang diakibatkan oleh asap rokok.

Ibu bapa perlu mendidik anak-anak tentang keburukan tabiat merokok serta pelbagai masalah kesihatan mahupun keselamatan yang boleh diakibatkan oleh pencemaran asap rokok. Ini termasuk:

  • menyediakan persekitaran rumah yang bebas asap rokok kepada anak-anak. Rumah yang bebas asap rokok bukanlah sesuatu yang sukar atau mustahil untuk dilaksanakan.
  • memastikan tiada ahli keluarga atau tetamu yang merokok di dalam rumah atau kenderaan.
  • tidak menyediakan sebarang peralatan merokok seperti pemetik api atau bekas abu rokok yang boleh menggalakkan tabiat merokok.
  • menunjukkan contoh yang baik kepada ahli keluarga dengan tidak merokok. Jika ibu bapa mempunyai tabiat merokok, elakkan daripada merokok di hadapan anak-anak supaya tabiat itu tidak ditiru oleh anak-anak. Berusahalah untuk berhenti merokok dan dapatkan bantuan/ rawatan dari Klinik Kesihatan yang berdekatan sekiranya perlu.
  • menasihati ahli keluarga yang merokok supaya berhenti merokok.
  • elakkan mengunjungi tempat di mana terdapat perokok sedang menghisap rokok. Kunjungilah tempat awam seperti kompleks beli-belah dan restoran yang bebas asap rokok.

Role Model

Dalam keluarga, ibu bapa merupakan ketua keluarga dan berperanan sebagai contoh ikutan (role model) kepada anak-anak. Anak-anak cenderung untuk mencontohi tingkah laku dan sikap yang ditunjukkan oleh ibu bapa mereka sama ada yang baik mahupun yang buruk. Ini adalah kerana ibu bapa adalah orang yang paling rapat dengan anak-anak.

Peranan ibu bapa bermula sejak anak-anak masih kecil lagi. Ibu bapa perlu memahami naluri anak-anak bagi mewujudkan suasana erat dan harmoni dalam keluarga. Luangkan lebih banyak masa dengan anak-anak agar mereka berasa dihargai dan disayangi. Hasilnya, anak-anak akan lebih selesa bersama-sama keluarga berbanding rakan-rakan yang dikhuatiri membawa pengaruh tidak sihat dan buruk seperti menghisap rokok.

Tingkah laku ahli keluarga terutamanya ibu bapa menjadi contoh dan ikutan oleh anak-anak. Ibu atau bapa yang merokok memberi gambaran awal kepada anak-anak bahawa tingkah laku tersebut adalah sebahagian daripada norma yang biasa dalam keluarga. Apabila tingkah laku tersebut dilihat sebagai norma dan kebiasaan, maka anak-anak akan menjadi lebih cenderung untuk turut serta.

Bapa atau ibu sebagai pemimpin perlu menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak. Merokok adalah dilarang. Banyak kelebihannya jika ibu bapa tidak merokok. Bukan sahaja anak-anak dan seluruh ahli keluarga mendapat persekitaran yang bersih dan sihat, taraf ekonomi keluarga juga akan bertambah baik. Kos untuk membeli rokok boleh diganti untuk membiayai belanja harian rumahtangga. Sediakan makanan yang sihat kepada anak-anak dengan wang yang diperuntukkan untuk membeli rokok.

Ibu bapa yang tidak merokok juga akan kelihatan lebih sihat dan bersih. Anak-anak pasti gembira dengan penampilan ibu bapa yang segak dan cantik tanpa asap rokok. Melihat ibu bapa yang sihat, anak-anak pasti akan ingin mengikuti jejak langkah mereka. Ibu bapa adalah role model kepada anak-anak maka mereka juga akan kurang kecenderungan untuk memulakan tabiat merokok jika ibu dan bapa tidak merokok. Sebaliknya, jika ibu bapa mempunyai tabiat menghisap rokok, secara automatik, mereka akan hilang wibawa untuk menasihati atau memarahi anak-anak yang ikut merokok kerana ibu bapa itu sendiri mengamalkan tabiat buruk tersebut.

Pantau

Apabila seseorang itu meninggalkan alam kanak-kanak dan memasuki alam remaja, pengaruh ibu bapa sebagai agen sosialisasi mula diganti dengan peranan rakan-rakan. Pada usia remaja, pengaruh rakan sebaya lebih besar berbanding ibu bapa. Rakan-rakan menjadi teman kepercayaan remaja untuk berkongsi interaksi sosial; mengatasi ketakutan, kekeliruan dan masalah, malah bersama-sama cuba untuk keluar daripada kawalan orang dewasa dan belenggu peraturan-peraturan yang dianggap mengongkong naluri remaja.

Ibu bapa yang prihatin akan cenderung mengawal pemilihan rakan sebaya anak-anak dan mengambil inisiatif untuk mengenali rakan sebaya anak-anak khususnya ketika meningkat usia remaja. Ibu bapa berperanan mengenal pasti sama ada anak-anak mereka berkawan dengan golongan yang merokok ataupun tidak. Pilihan rakan sebaya yang baik dan betul mampu mempengaruhi keputusan remaja untuk tidak merokok. Justeru itu, rakan-rakan anak-anak khususnya ketika meningkat usia remaja perlu diselidiki dengan teliti.

Ibu bapa yang bertanggungjawab akan berusaha memantau segala tingkah laku dan aktiviti anak-anak termasuk pengaruh rakan sebaya terhadap sikap serta perkara yang menjadi kegemaran mahupun kebencian mereka. Ibu bapa perlu tahu dengan siapa anak-anak berkawan dan di manakah mereka selalu menghabiskan masa terluang. Pastikan anak-anak tidak bergaul dengan rakan sebaya yang mempunyai sikap negatif seperti ketagih rokok. Apa yang dibimbangkan, remaja akan mula merokok kerana adalah menjadi sifat semulajadi mereka cenderung untuk mencuba sesuatu yang baru.

Ibu bapa tidak boleh menyekat sepenuhnya pergaulan anak-anak di luar rumah lebih-lebih lagi jika anak-anak sudah mula menjejakkan kaki ke dalam alam persekolahan. Sebagai langkah berjaga-jaga, adalah lebih praktikal bagi ibu bapa memberi perhatian terhadap rakan-rakan yang menjadi sahabat anak-anak kerana kebanyakan remaja yang merokok mendakwa mereka menjadi perokok akibat terpengaruh dengan ajakan rakan-rakan.

Ibu bapa juga boleh menjalinkan hubungan persahabatan dengan ibu bapa rakan-rakan anak-anak dengan harapan jalinan hubungan yang baik dan karib ini akan melahirkan rasa tanggungjawab yang ikhlas untuk saling memantau gerak-geri anak masing-masing. Hasilnya, ibu bapa menyelamatkan anak-anak daripada terlibat dengan aktiviti tidak sihat seperti menghisap rokok.

Periksa, Prihatin dan Peka

Tanpa bertujuan menggalakkan sikap buruk sangka, ibu bapa pada masa yang sama tidak boleh terlalu naïf dalam mempercayai sikap baik anak-anak dan sentiasa meletakkan sedikit rasa curiga terhadap mereka melalui langkah-langkah pencegahan berhemah seperti berikut:

  • periksa saku seluar, baju, pakaian dan beg anak-anak dari masa ke semasa jika terdapat rokok atau pemetik api yang menjadi bukti mereka merokok.
  • ibu bapa juga boleh mengetahui sama ada anak-anak merokok atau tidak jika terhidu bau asap rokok pada pakaian, rambut atau badan mereka.
  • prihatin dan peka terhadap paten perbelanjaan wang saku yang diberikan kepada anak-anak. Persoalkan sekiranya wang saku yang diberikan sering habis dibelanjakan atas alasan membeli buku dan keperluan sekolah atau keperluan peribadi lain yang tidak jelas kelihatan. Sekiranya terdapat keraguan, ada kemungkinan wang tersebut dibelanjakan untuk membeli rokok.

Pantang

Semua ibu/ bapa tidak mahu anak-anak mereka terlibat dengan gejala negatif seperti penagihan dadah, pergaulan bebas dan lain-lain, jadikan tabiat merokok dan pencemaran asap rokok sebagai suatu pantang yang sangat dilarang dalam kehidupan anak-anak mahupun ahli keluarga. Dalam sesebuah rumahtangga tidak perlu ada seorang pun yang merokok. Rumah, kenderaan dan persekitaran di mana sahaja anak-anak dan ahli keluarga berada perlu kekal sebagai tempat yang selesa dan selamat kepada semua penghuninya. Asap rokok akan menyebabkan suasana persekitaran menjadi tidak sihat dan menjadi punca kepada segala macam penyakit berbahaya.

Bagi keluarga yang beragama Islam, fatwa Majlis Ulama Kebangsaan telah mengisytiharkan tabiat merokok sebagai haram boleh dijadikan asas untuk melarang sama sekali anak-anak daripada terlibat dengan tabiat merokok, malah jangan sekali-kali cuba untuk merokok. Ingatkan juga bahawa iklan-iklan di media yang menonjolkan tabiat merokok sebagai rokok di media bukan ditujukan kepada mereka.

Pencegahan Itu Lebih Baik

Pepatah Melayu ada mengatakan, ‘melentur buluh biarlah daripada rebungnya’. Maka, zaman kecil anak-anak adalah masa yang terbaik bagi ibu bapa untuk melatih dan mendidik sikap serta tingkah laku mereka terhadap tabiat merokok dan tindak balas mereka terhadap pencemaran asap rokok.

Pencegahan sememangnya merupakan langkah yang lebih baik daripada merawat. Justeru itu, usaha menangani masalah ini harus dilihat sebagai satu amalan yang sangat penting lagi mulia dalam memastikan kesihatan dan kesejahteraan anak-anak mahupun ahli keluarga ke arah melahirkan masyarakat dan negara yang lebih sihat bermula hari ini untuk masa hadapan.

Rujukan

  1. Dr. Abu Bakar Abdul Majid, Bagaimana Cara Berhenti Merokok, 2006.
  2. Dr. Abu Bakar Abdul Majid, Bacalah Ibu Bapa Guru Murid, 2004.

 

Semakan Akhir : 7 Februari 2016
Penulis : Noorlaile binti Jasman
Akreditor : Norddin bin Daud

Baca Juga

Mengapa Remaja Merokok?

Golongan remaja adalah mereka yang berusia 10 hingga 19 tahun. Mereka merupakan 25% daripada populasi …