Sabtu , November 25 2017
msen
Utama > Kawalan Tembakau > Merokok Satu Amalan Yang Tidak Boleh Diterima Masyarakat

Merokok Satu Amalan Yang Tidak Boleh Diterima Masyarakat

Pelbagai kempen melalui media massa telah dilaksanakan sejak bertahun-tahun lamanya dan usaha ini sepatutnya sudah dapat meningkatkan kesedaran orang ramai tentang bahaya tabiat merokok. Begitu juga dengan penguatkuasaan undang-undang melarang penjualan rokok kepada pembeli berumur di bawah 16 tahun serta perlaksanaan cukai yang tinggi terhadap harga jualan rokok juga sepatutnya dapat membantu bagi memastikan tabiat merokok di kalangan orang ramai dapat dibendung, dikawal dan dikurangkan kalaupun tidak dihapuskan sama sekali. Namun peningkatan bilangan perokok terus meningkat setiap tahun.

Pihak industri penjualan produk tembakau yang bernilai berbilion ringgit setiap tahun ini bukan sahaja tampak tidak terjejas dan kebal daripada langkah-langkah tersebut, malahan semakin berkembang kumpulan sasarnya bukan sahaja di kalangan lelaki dewasa, malahan remaja bawah umur, kanak-kanak sekolah serta golongan wanita.

Ramai yang berpendapat bahawa pertambahan bilangan perokok setiap tahun ini diakibatkan perlaksanaan kempen anti rokok yang gagal, penguatkuasaan undang-undang yang lemah, keuntungan berlipat kali ganda menyebabkan penjenayah sanggup bertarung nyawa menyeludup rokok haram sehingga membanjiri pasaran serta iklan-iklan syarikat rokok yang lebih berjaya memasarkan imej tabiat merokok sebagai berprestij, bergaya, ada kelas dan tidak berbahaya (harmless).

Biarpun kebenaran fakta ini tidak dapat dijelaskan mahupun dinafikan tanpa penyelidikan yang jitu, yang pasti sebatang rokok mengandungi ribuan unsur racun toksik dan unsur yang dikaitkan dengan penyakit barah (karsinogen), dan jutaan manusia yang hidup (dan mati) kerananya KETAGIH rokok akibat salah satu unsur yang terdapat di dalamnya adalah nikotin yang mengakibatkan ketagihan sebagaimana dadah kokain dan heroin. Ketagihan inilah yang memastikan perokok untuk menghisap rokok yang seterusnya dan seterusnya sehinggalah sama ada dia tidak berhenti merokok sama sekali ataupun meninggal dunia akibat penyakit yang disebabkan racun rokok.

Di klinik-klinik kesihatan di Malaysia, perkhidmatan rawatan berhenti merokok secara percuma disediakan tetapi sangat sedikit bilangan perokok yang mengambil peluang mendapatkan perkhidmatan ini dan kebanyakan perokok yang mendapatkan perkhidmatan pun, hanya berbuat demikian setelah mereka disahkan menghidap penyakit yang berpunca daripada tabiat merokok dan pencemaran asap rokok atau dalam erti kata lain, ‘sudah terhantuk baru mengadah’. Bagaimanapun, ini tidak bermakna kita harus berserah diri, pasrah dan merelakan sahaja tabiat merokok terus berleluasa dalam kalangan masyarakat. Sebaliknya, kita harus terus aktif, agresif dan optimis mengambil langkah mengawal gejala tabiat merokok daripada menjadi amalan kepada diri sendiri, anak-anak, ahli keluarga dan insan tersayang, demi masa depan masyarakat dan negara yang sihat dan selamat pada masa hadapan.

Di seluruh dunia, dianggarkan 4 juta orang meninggal dunia setiap tahun akibat penyakit berkaitan dengan penggunaan produk tembakau dan menjelang penghujung tahun 2020, kadar kematian dijangka akan mencecah 10 juta orang. Fakta yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menyatakan setiap hari, lebih kurang 45 hingga 59 remaja di bawah umur 18 mula merokok di negara kita. Jumlah remaja lelaki yang merokok berusia 12 hingga 18 tahun pula adalah sebanyak 30 peratus sementara bilangan remaja perempuan yang merokok telah bertambah dari 4 peratus ke 8 peratus antara tahun 2000 ke tahun 2004.

Usia remaja merupakan fasa yang paling sensitif kepada permulaan tingkah laku merokok. Perubahan demi perubahan dalam diri remaja bersama transisi zaman kanak-kanak ke alam dewasa membawa kepada pelbagai keinginan untuk mencuba perkara-perkara yang baru termasuklah merokok. Penggunaan rokok dalam usia remaja dilihat sebagai tingkah laku untuk bereksperimen sebelum remaja tersebut kekal menjadi perokok apabila dewasa.

Risiko seseorang remaja untuk kekal menjadi perokok bermula dengan percubaan pertamanya. Remaja yang mencuba untuk merokok akan lebih cenderung untuk terus merokok sehingga dewasa, berbanding dengan remaja yang tidak mencuba sama sekali. Ini kerana, kandungan nikotin di dalam rokok boleh membawa kepada sindrom ketagihan yang sama dengan ketagihan dadah heroin dan kokain. Jika dilihat, sangat sedikit remaja yang berjaya meninggalkan tabiat merokok apabila mereka telah mula merokok. Disebabkan inilah kita akan mendapati tidak ramai perokok tetap mula merokok pada usia dewasa.

Terdapat tiga peringkat yang membawa kepada ketagihan nikotin di kalangan remaja iaitu peringkat permulaan (initiation), penggunaan bermasalah (problem use) dan pergantungan (dependency). Peringkat yang pertama iaitu permulaan merujuk kepada faktor-faktor yang mempengaruhi dan mendorong remaja untuk merokok termasuk tahap pendidikan yang rendah serta pengaruh perokok lain yang terdiri daripada kalangan ahli keluarga – ibu bapa atau adik-beradik serta rakan sebaya. Pada peringkat permulaan, remaja yang merokok mahu dilihat sebagai seorang yang berdikari dan bebas untuk melakukan apa yang disukai.

Isu kecantikan juga memainkan peranan apabila terdapat remaja perempuan yang percaya dan beranggapan dengan merokok mereka dapat kekal langsing. Pengaruh media, artis dan filem juga berperanan dalam peringkat pertama ini. Remaja akan terdorong untuk merokok, apabila media menggambarkan tingkah laku tersebut sebagai satu tingkah laku yang bergaya dan sebagai ekspresi penentangan jiwa mereka. Peringkat permulaan merokok ini kemudiannya akan membawa kepada peringkat ketagihan, apabila remaja merasakan merokok dapat memberi kelegaan dan menenangkan diri mereka.

Peringkat kedua, iaitu penggunaan bermasalah merujuk kepada keadaan remaja yang akan merokok apabila mereka bersama rakan-rakan atau ketika mereka bosan dan gelisah. Lama-kelamaan, tingkah laku merokok ini terus akan menjadi tabiat yang tidak dapat ditinggalkan.

Peringkat ketiga iaitu pergantungan akan bermula apabila remaja yang merokok merasakan tingkah laku tersebut sebagai satu keseronokan. Akhirnya, nikotin bertindak sebagai cara untuk remaja berhadapan dengan tekanan dan masalah seharian. Remaja yang ketagihan nikotin akan mencari rokok sebagai satu cara mereka melepaskan rasa rungsing dan kebimbangan. Apabila berada di peringkat ini, remaja sebenarnya sudah mengalami ketagihan nikotin, yang menyebabkan mereka berasa tidak selesa dan murung sekiranya mereka tidak merokok.

Kecenderungan remaja untuk merokok atau tidak merokok adalah berdasarkan kekerapan dan jangka masa mereka berhubungan dengan individu yang merokok. Hubungan yang lebih rapat dan lebih lama yang muncul dalam diri remaja adalah sangat penting dalam proses pembelajaran sosial. Untuk itulah, keluarga dan rakan-rakan berada dalam kategori utama golongan yang boleh mempengaruhi tingkah laku remaja seperti merokok. Remaja yang merokok mungkin berasa lebih yakin dengan diri mereka atau merasa lebih disukai oleh orang lain disebabkan oleh tingkah laku tersebut. Sekiranya tidak ada kawalan, sekatan dan hukuman kepada tingkah laku merokok, pola tingkah laku merokok ini akan kekal dan penglibatan seseorang dalam tingkah laku merokok ini akan menjadi lebih serius. Konsep kendiri yang dibina oleh remaja dalam diri mereka adalah penting dalam menentukan identiti sosial dan kumpulan. Lalu ia membawa kepada kecenderungan untuk mempunyai tingkah laku yang sama di kalangan remaja dalam satu kumpulan.

Remaja menjadikan tingkah laku tertentu seperti merokok ini sebagai tunjang kepada identiti kumpulan mereka. Jika status perokok dan bukan perokok dilihat penting dalam menentukan identiti sosial kumpulan, maka ahli-ahli sesebuah kumpulan selalunya akan berkongsi tingkah laku yang sama. Ideanya ialah akan terdapat kumpulan-kumpulan remaja yang boleh dikategorikan sebagai kumpulan merokok dan tidak merokok. Proses sosialisasi mempengaruhi pembentukan tingkah laku dan personaliti remaja. Proses ini membolehkan seseorang itu mengenal diri sendiri dan mempelajari apa yang dipercayai oleh orang lain di sekelilingnya, dan mempelajari bagaimanakah cara bertingkah laku yang bersesuaian (Musgrave, 1988). Melalui proses inilah, individu belajar tentang nilai dan norma dalam budaya. Individu akan terdorong untuk mengikuti perkara-perkara yang dianjurkan oleh budaya masyarakat di sekeilingnya. Sosialisasi juga membolehkan individu mengenal dirinya dan belajar menempatkan dirinya dalam masyarakat.

Keluarga dan rakan-rakan merupakan dua kumpulan agen sosialisasi selain sekolah dan media. Sebagai agen sosialisasi, keluarga dan rakan-rakan memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk tingkah laku dan kendiri seseorang remaja. Keluarga merupakan agen sosialisasi utama bermula dari awal kelahiran sehinggalah seseorang itu dewasa. Apabila seseorang itu meninggalkan alam kanak-kanak dan memasuki alam remaja, pengaruh ibu bapa sebagai agen sosialisasi mula diganti dengan peranan rakan-rakan. Rakan-rakan menjadi tempat untuk remaja berkongsi interaksi sosial dan mengatasi ketakutan, kekeliruan dan masalah. Selain itu, rakan-rakan menjadi tempat untuk remaja bersama-sama cuba untuk keluar daripada kawalan orang dewasa dan peraturan-peraturan.

Pengaruh keluarga dalam menentukan tingkah laku merokok telah menarik minat ramai pengkaji-pengkaji isu sosial. Terdapat banyak kajian yang menyatakan hubungan antara tingkah laku merokok dengan faktor keluarga. Kajian mendapati tingkah laku merokok di kalangan adik beradik yang lebih tua mendorong remaja untuk turut sama merokok. Sebagai agen sosialisasi utama, tingkah laku ahli keluarga terutamanya ibu bapa menjadi contoh dan ikutan oleh anak-anak. Ibu atau bapa yang merokok memberi gambaran awal kepada anak-anak bahawa tingkah laku tersebut adalah sebahagian daripada norma yang biasa dan boleh diterima (acceptable) dalam keluarga. Apabila tingkah laku tersebut dilihat sebagai norma dan kebiasaan, maka anak-anak akan menjadi lebih cenderung untuk turut serta.

Jika tingkah laku merokok oleh ahli keluarga menjadi ikutan oleh remaja kerana kebiasaan melihat tingkah laku tersebut seharian, pengaruh rakan-rakan pula lebih menjurus kepada tekanan. Walaupun tidak dipaksa secara langsung oleh rakan-rakan untuk merokok, remaja sebenarnya berasa terpengaruh untuk turut merokok sekiranya rakan-rakan di sekeliling mereka adalah perokok. Dalam hal ini, remaja merokok disebabkan mereka mahu menjadi sebahagian daripada kumpulan dan untuk mengelakkan mereka daripada tersisih. Dengan turut sama merokok, remaja memperolehi pengesahan sosial dan interaksi sesama rakan sekumpulan.

Tingkah laku merokok di kalangan remaja juga membuatkan remaja berasa memperoleh kebebasan dan autonomi. Tekanan lain yang turut dihadapi oleh remaja agar menghisap rokok juga berlaku secara langsung. Remaja sering berhadapan dengan rakan-rakan yang akan menggalakkan mereka agar mencuba merokok. Remaja mungkin akan dipaksa dan juga diusik sekiranya enggan berbuat demikian. Kedua-dua agen ini memainkan peranan yang amat besar dalam membentuk tingkah laku dan tabiat merokok di kalangan remaja. Remaja bukanlah satu entiti yang berasingan dengan kedua agen ini, sebaliknya ia saling mempengaruhi.

Sebenarnya agen sosialisasi yang kedua iaitu rakan-rakan, juga sebenarnya bermula dengan peranan keluarga. Rakan sebaya ini juga mempunyai keluarga dan dipengaruhi oleh tingkah laku keluarga mereka. Kedua-dua agen ini seolah-olah berantai dan saling mempengaruhi. Keluarga berperanan mengawal pemilihan rakan sebaya anak-anak. Keluarga yang prihatin akan cenderung untuk mengenali rakan sebaya remaja dan boleh mempengaruhi keputusan remaja untuk memilih rakan mereka. Untuk mengawal atau mengelakkan remaja merokok, ibu bapa berperanan mengenal pasti sama ada anak-anak mereka berkawan dengan golongan yang merokok ataupun tidak.

Seseorang yang telah membentuk tabiat merokok pada usia yang muda akan mempunyai tahap ketagihan nikotin yang lebih serius berbanding dengan mereka yang mula merokok pada usia yang lebih tua. Tingkah laku merokok yang kerap di kalangan remaja akan membawa kepada masalah kesihatan semasa dan juga kelak apabila dewasa. Tabiat merokok seawal usia remaja akan mengurangkan kadar tumbesaran paru-paru untuk berfungsi pada kadar maksimum. Remaja yang merokok juga mempunyai kadar kecergasan yang lebih rendah berbanding dengan remaja yang tidak merokok. Tahap kecergasan seseorang perokok itu adalah berkadar langsung dengan jangka masa dan kekerapan merokok. Remaja yang merokok akan sering mengalami sesak nafas, batuk berkahak, pitam, dan secara keseluruhannya mempunyai tahap kesihatan yang rendah.

Selain daripada itu, penglibatan awal remaja dalam tingkah laku merokok juga berkait rapat dengan peningkatan risiko penyakit kardiovaskular dan gangguan kepada kadar kolesterol. Jika tingkah laku merokok berlarutan sehingga dewasa, tabiat ini akan meningkatkan risiko pembentukan awal penyakit kardiovaskular. Kebimbangan kepada pertambahan jumlah perokok di negara kita, membawa kepada usaha kerajaan melancarkan Kempen Tak Nak Merokok iaitu kempen kesedaran yang disasarkan kepada golongan remaja pada 9 Februari 2004. YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam ucapannya di perasmian kempen tersebut menganjurkan agar golongan dewasa dapat memberi teladan dengan berhenti merokok.

Kempen ini bertujuan mencegah keinginan golongan remaja untuk merokok dan menyangkal tanggapan bahawa tabiat merokok adalah suatu yang diterima dalam masyarakat. Kerajaan sebenarnya telah membelanjakan sejumlah wang yang banyak untuk kempen anti merokok (Jadual 1) sejak tahun 2000 lagi.

Jadual 1: Perbelanjaan Kempen Anti Merokok oleh Kerajaan, 2000- 2003

Perbelanjaan Kempen Anti Merokok oleh Kerajaan, 2000- 2003

Sumber: Bernama, 22 September 2004

Pihak kerajaan melihat kepentingan menjadikan golongan remaja sebagai sasaran kempen anti merokok, manakala industri tembakau pula sebaliknya terlebih dahulu telah melihat kepentingan golongan ini dalam usaha mengukuhkan pasaran mereka. Untuk itu, kita sering melihat promosi demi promosi oleh industri ini yang dibuat dalam persekitaran sosial yang digemari oleh remaja. Sebagai contoh, memberi tajaan kepada aktiviti-aktiviti bersantai dan hiburan.

Perkara sebeginilah yang menyebabkan golongan remaja memberi gambaran yang positif kepada tingkah laku merokok ini. Golongan remaja merupakan pasaran utama kepada produk tembakau. Ini berkaitan dengan percubaan awal merokok bermula pada usia awal remaja. Golongan kanak-kanak dan remaja berterusan didedahkan dengan kaedah pemasaran oleh syarikat-syarikat tembakau yang mampu mempengaruhi tingkah laku remaja. Kaedah pengiklanan yang mempromosikan gaya hidup bergaya mampu menggalakkan remaja berkeinginan untuk turut serta.

Remaja sering mengaitkan diri mereka sebagai perokok sosial yakni mereka merokok untuk mendapat tempat dalam persekitaran sosial mereka dan tidak percaya bahawa mereka sebenarnya telah ketagih kepada rokok. Ini telah memudahkan lagi promosi pasaran tembakau kerana remaja mengaitkannya dengan cara bersosial, bukannya sebagai satu bentuk ketagihan yang berbahaya dan perlu dijauhi.

Isu merokok di kalangan remaja bukanlah satu isu kelompok tertentu atau dalam jangka masa tertentu sahaja. Kempen yang berterusan mungkin dapat membantu usaha mengurangkan jumlah perokok remaja sementara kawalan dan penguatkuasaan secara fizikalnya menyukarkan remaja untuk mendapatkan bekalan rokok. Namun, perkara ini bukanlah petunjuk yang kukuh kepada perubahan sikap dan definisi yang diberikan oleh remaja kepada tingkah laku merokok.

Perkara utama yang penting untuk diusahakan ialah perubahan kepada definisi yang diberikan oleh remaja terhadap tingkah laku tersebut. Perubahan definisi merokok sebagai diterima secara sosial perlu bermula dengan pendidikan. Pendidikan ini merangkumi kesedaran kepentingan kehidupan yang berkualiti, bebas daripada sebarang bentuk ketagihan. Perkara ini perlu ditanam dalam diri remaja oleh keluarga bahawa kebolehan untuk tidak terlibat atau meninggalkan tabiat merokok sebagai sesuatu yang membanggakan.

Cabarannya ialah untuk membolehkan remaja mendefinisikan tingkah laku tidak merokok sebagai keupayaan mereka untuk memilih gaya hidup. Semangat remaja perlu dibakar bagi meyakinkan mereka bahawasanya pada usia yang muda, mereka sudah boleh memilih gaya hidup yang berkualiti tanpa tunduk kepada tekanan dan pengaruh.

Ibu bapa dan keluarga perlu menyedari kekentalan jiwa dan kekuatan remaja untuk tidak terlibat dengan tabiat merokok, sangat bergantung dengan pendekatan dan tingkah laku seharian isi rumah dan perkara ini bermula daripada pendidikan di rumah. Keluarga perlu mempunyai maklumat dan kesedaran tentang bahaya merokok dan melihat tingkah laku tersebut lebih daripada perspektif budaya dan kesihatan.

Usaha perlu dibuat untuk membentuk tanggapan bahawa tabiat merokok tidak mempunyai manfaat, faedah atau kebaikan kepada diri, keluarga, orang sekeliling dan masyarakat melainkan senarai kemudaratan yang berpanjangan:

  • Tabiat merokok mendedahkan perokok dan orang di sekelilingnya kepada pencemaran asap rokok yang mengandungi ribuan unsur racun dan karsinogen yang boleh mengakibatkan penyakit dalam jangkamasa pendek dan panjang seperti asma, batuk, masalah pernafasan dan sebagainya sehinggalah penyakit barah yang membawa maut.
  • Tabiat merokok merupakan pembaziran wang ringgit kerana perbelanjaan untuk membeli rokok yang mahal sepatutnya boleh disalurkan untuk perkara yang lebih bermanfaat seperti barangan kegunaan harian, pakaian, simpanan dan lain-lain.
  • Ia bukanlah suatu norma yang biasa dan boleh diterima masyarakat sebaliknya suatu tabiat yang buruk yang harus dijauhi, dielak dan ditinggalkan.

Pilih untuk sihat. Pilih untuk berjimat. Ingat, merokok hanya mendatangkan mudarat. Jauhi tabiat merokok kerana ia suatu amalan yang tidak boleh diterima oleh masyarakat.

 Rujukan

  1. Abu Bakar Abdul Majid, Bagaimana Cara Berhenti Merokok, 2006
  2. BERNAMA, 22 September 2004
  3. www.moh.gov.my

 

Semakan Akhir : 7 Februari 2016
Penulis : Noorlaile binti Jasman
Akreditor : Norddin bin Daud

Baca Juga

Merokok Merugikan Negara

Kita selalu mendengar bahawa wawasan negara kita adalah untuk mencapai taraf negara yang maju menjelang …