Jumaat , September 22 2017
msen
Utama > Kawalan Tembakau > Merokok Merugikan Negara

Merokok Merugikan Negara

Kita selalu mendengar bahawa wawasan negara kita adalah untuk mencapai taraf negara yang maju menjelang tahun 2020.

Apa Maksud Negara Maju?

Sebuah negara yang maju adalah yang dapat menjamin taraf hidup yang tinggi. Juga menjamin kesejahteraaan bagi generasi sekarang dan juga bagi generasi akan datang. Ekonominya telah berkembang pesat. Pengeluaran serta penggunaan di negara itu adalah pada tahap tinggi.

Sebagai negara maju, Malaysia mensasarkan pendapatan purata rakyat sebanyak RM78,800 setahun pada tahun 2020. Ini bermakna pendapatan bulanan ialah RM6,600. Sekarang ini tingkat pendapatan purata rakyat negara ini adalah RM54,000 setahun, bermakna pendapatan purata bulanan ialah RM4,500. Maklumat ini menunjukkan masih jauh perjalanan kita ini.

Bagaimana Menjadi Negara Maju?

Antara faktor-faktor penting yang diperlukan untuk menjadi negara maju ialah ;

  • Modal manusia yang berkualiti.
  • Modal fizikal yang banyak.
  • Tingkat inovasi dan teknologi yang tinggi.

Kaitan Merokok Dengan Pencapaian Negara Maju

Merokok banyak berlaku di kalangan pekerja. Sejumlah satu pertiga daripada penduduk negara ini disahkan sebagai perokok. Dan mereka ini yang akan membentuk tenaga kerja. Kita akan melihat bagaimana merokok dapat menjejaskan kualiti tenaga buruh melalui beberapa cara. Oleh itu merokok secara tidak langsung akan merugikan negara. Kualiti tenaga kerja boleh ditingkatkan dengan membekalkan mereka dengan modal manusia.

Modal Manusia

Perbelanjaan yang dibuat bagi meningkatkan kualiti pekerja dipanggil pelaburan modal manusia. Ini termasuklah perbelanjaan bagi pendidikan dan juga kesihatan.

(i) Pendidikan

Aspek pendidikan telah lama diberi perhatian oleh kerajaan dan juga individu. Ini ternyata dengan peningkatan bilangan sekolah serta institut pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh negara.

Kerajaan sangat mengutamakan aspek pendidikan dan latihan. Ini nyata dapat dilihat dengan peruntukan besar yang diberikan kepada sektor ini bagi tahun 2013, iaitu 21.7 peratus (RM54 bilion) daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan.

Setiap keluarga juga, tanpa ragu-ragu sanggup melabur wang bagi menjamin prestasi cemerlang anak-anak dalam peperiksaan. Ini termasuklah dengan menghantar mereka ke kelas-kelas tusyen, sebagai tambahan kepada pembelajaran yang didapati di sekolah. Kajian menunjukkan purata keluarga membelanjakan satu per sepuluh daripada pendapatan keluarga bagi tujuan tusyen swasta ini [4].

(ii) Kesihatan

Walau bagaimanapun, perhatian yang sama tidak diberikan untuk kesihatan. Ini berlaku di peringkat individu dan juga kerajaan. Peruntukan belanjawan kerajaan tahun 2013 bagi sektor kesihatan hanya sebanyak 7.7 peratus (RM19 bilion).

Kebiasaannya isu kesihatan hanya akan diberi perhatian setelah kesihatan seseorang itu terjejas. Pekerja yang tidak sihat, bukan sahaja merugikan diri dan keluarga, tetapi juga merugikan negara.

Merugikan Diri dan Keluarga

 Apabila seseorang itu jatuh sakit, beberapa perkara akan berlaku, umpamanya;

  • Ia akan menanggung kos perubatan yang tinggi.
  • Ia akan selalu tidak hadir kerja.
  • Prestasi dan produktivitinya rendah, mengakibatkan kurang peluang kenaikan pangkat dan gaji.
  • Jangka hayat yang pendek.

(i) Kos perubatan persendirian yang tinggi

Merokok bukan sahaja menjejaskan kesihatan perokok itu sendiri, malah merokok mempunyai kesan kepada orang di sekelilingnya. Ahli keluarga, seperti anak-anak juga terdedah kepada gejala-gejala asap rokok ini. Jadi merokok sudah tentu akan meningkatkan kos kesihatan keluarga.

Keluarga di Malaysia telah membelanjakan lebih kurang RM17.2 juta setahun atau 2 peratus daripada pendapatan negara bagi merawati penyakit-penyakit yang dikaitkan dengan merokok.

(ii) Ketidakhadiran kerja

Tahap kesihatan perokok dikatakan kurang baik berbanding bukan perokok. Oleh itu kadar kehadiran kerja perokok akan juga terjejas. Ada kajian yang merumuskan bahawa bagi perokok ketidakhadiran kerjanya adalah 48.5 peratus lebih tinggi berbanding bukan perokok.

(iii) Prestasi dan produktivitinya rendah, mengakibatkan kurang peluang kenaikan pangkat dan gaji

Pekerja yang selalu sakit, kadar ketidakhadiran kerjanya akan tinggi. Mereka ini akan dipandang sebagai beban oleh majikan. Oleh kerana majikan terikat dengan undang-undang buruh, mereka tidak boleh memberhentikan pekerja bermasalah ini sewenang-senangnya. Apa yang akan terjadi ialah, pekerja sebegini tidak akan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat atau kenaikan gaji. Ini sudah tentu merugikan pekerja dan juga keluarganya.

(iv) Jangka hayat yang pendek.

Kajian menunjukkan bahawa setiap batang rokok yang dihisap, akan memendekkan hayat kita sebanyak 11 minit. Bagi perokok tegar, kajian mendapati jangka hayat mereka akan kurang 10 tahun berbanding bukan perokok.

Semua angka ini menggerunkan. Tetapi hakikatnya, kematian awal perokok yang juga pencari nafkah utama, sudah tentu akan merugikan keluarga berkenaan.

Merugikan Negara

Jumlah perokok yang sentiasa bertambah dan tidak dibendung akan menyebabkan perkara berikut;

  • Kos kesihatan awam meningkat.
  • Produktiviti pekerja menurun.
  • Pengeluaran negara menurun.
  • Pertumbuhan ekonomi terbantut.

(i) Kos kesihatan awam meningkat

Kebanyakan rakyat di negara ini bergantung kepada hospital kerajaan bagi mendapatkan rawatan. Mengikut perangkaan Kementerian Kesihatan Malaysia, pada tahun 2010, bilangan pesakit yang dimasukkan ke hospital kerajaan kerana penyakit yang berkaitan dengan saluran penafasan adalah kedua terbanyak, iaitu 10.36 peratus, selepas kes kehamilan dan kelahiran. Ini juga bermakna kerajaan terpaksa membelanjakan kewangan yang besar bagi menangani penyakit yang berpunca daripada tabiat merokok.

(ii) Produktiviti pekerja menurun, pengeluaran dan pertumbuhan negara berkurang

Jika di peringkat individu, merokok menyebabkan ketidakhadiran pekerja meningkat, dan akhirnya kesan dirasai dalam bentuk pengurangan pendapatan keluarga sekarang dan juga di masa hadapan. Bagi negara pula, kesan merokok dan ketidakhadiran tinggi akan menjadikan produktiviti atau daya pengeluaran pekerja berkurang. Akibatnya pengeluaran negara berkurang dan kita tidak dapat bersaing di pasaran antarabangsa.

Pelabur-pelabur asing juga akan melihat kepada produktiviti pekerja di sesebuah negara sebelum berani melabur dana mereka. Sekiranya masalah kesihatan pekerja terutamanya berkaitan dengan merokok tidak dibendung, maka peluang menarik pelabur-pelabur asing ini akan berkurang. Akibatnya negara tidak dapat meneruskan program pembangunan yang menjamin pencapaian wawasan 2020.

Semua yang diperkatakan ini dapat diringkaskan di dalam Rajah 1. Dengan jelas dapat dikaitkan tabiat merokok yang akan merugikan negara. Iaitu apabila pekerja yang merokok jatuh sakit. Seterusnya produktiviti mereka akan menurun. Ini akhirnya menjejaskan pengeluaran negara, serta peluang kita menjadi negara maju.

Rajah 1 : Bagaimana Merokok Mengurangkan Pengeluaran Negara

 

Rujukan

  1. Laporan Ekonomi 2011, Kementerian Kewangan Malaysia.
  2. Laporan Tahunan 2011, Kementerian Kesihatan Malaysia.
  3. http://www.asiapacificmemo.ca/menghadiri-kelas-tuisyen-swasta-di-malaysia-pemantauan-untuk-kualiti
  4. http://web.business.queensu.ca/faculty/jbarling/Chapters/Smoking%20and%20Absence.pdf
  5. http://www.health.com/health/condition-article/0,,20209271,00.html
  6. http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2012/7/12/focus/11646513&sec=focus

 

Semakan Akhir : 7 Februari 2017
Penulis : Dr. Zaleha binti Mohd Noor
Akreditor : Dr. Norashidah binti Mohamed Nor

Baca Juga

Merokok Satu Amalan Yang Tidak Boleh Diterima Masyarakat

Pelbagai kempen melalui media massa telah dilaksanakan sejak bertahun-tahun lamanya dan usaha ini sepatutnya sudah …