Sabtu , November 25 2017
msen
Utama > Kawalan Tembakau > Kos Menghisap Rokok

Kos Menghisap Rokok

Rokok hanya sehelai kertas nipis yang diisi dengan cebisan daun tembakau dan digulung berbentuk silinder kecil. Walaupun kecil, ia difahamkan boleh atau akan memberi kepuasan kepada perokok, meredakan “stres” dan menyebabkan ketagihan kepada sesetengah individu.

Tobacco Atlas, 2012 melaporkan lebih kurang 5.9 trilion rokok dihisap dalam tahun 2009 [3]. Ini menggambarkan peningkatan 13 peratus penggunaan rokok dalam dekad yang lepas. China menyumbang lebih dari 38 peratus dari penggunaan rokok dunia dalam tahun tersebut.

Kos menghisap rokok boleh diukur dari sudut kos langsung dan kos tak langsung. Bukan sahaja harga rokok yang perlu dibayar malahan, termasuk kos masa hadapan untuk memelihara kesihatan kita disebabkan merokok.

Kos Langsung

Kos langsung adalah kos yang dikeluarkan dari saku atau kos wang kepada perokok dan masyarakat. Berapakah jumlah wang yang dibelanjakan perokok untuk rokok? Di samping itu kos perubatan untuk merawat penyakit yang disebabkan oleh rokok adalah sebahagian daripada kos langsung.

Masa kini, perokok 20 batang rokok premium sehari akan berbelanja RM10.00 sehari. Dalam seminggu dia akan berbelanja RM70.00 dan lebih kurang RM3650.00 setahun. Sekiranya tabiat merokok berlanjutan selama 20 tahun, dia akan berbelanja RM73000.00. Dengan jumlah ini sekiranya ditabung boleh membayar empat tahun pengajian prasiswazah di institusi pengajian tinggi atau mendapat pulangan daripada pelaburan dalam banyak aspek faedah aset kewangan.

Kos bagi mendapatkan rawatan di hospital disebabkan asma (lelah) yang berpunca daripada rokok juga diambil kira sebagai kos langsung. Maka jumlah kos keseluruhan kepada perokok ini adalah (RM3650.00+ RM2500) berjumlah RM6150. Jadual 1 menunjukkan jumlah perbelanjaan untuk bilangan rokok yang berbeza yang dihisap setiap hari.

Jadual 1: Kos langsung daripada penggunaan rokok (RM10 sekotak)

Bilangan Rokok Dihisap(batang) Jumlah Perbelanjaan (Ringgit Malaysia)
RM/hari RM/ minggu RM/bulan RM/tahun RM/20 tahun
5 2.50 17.50 75.00 912.50 18250.00
10 5.00 35.00 150.00 1825.00 36500.00
15 7.50 52.50 225.00 2737.50 54750.00
20 10.00 70.00 300.00 3650.00 73000.00
25 12.50 87.50 375.00 4562.50 91250.00
30 15.00 105.00 450.00 5475.00 109500.00
35 17.50 122.50 525.00 6387.50 127750.00
40 20.00 140.00 600.00 7300.00 146000.00
45 22.50 157.50 675.0 8212.50 164250.00

Di peringkat masyarakat, kos langsung dianggarkan dari kos perubatan swasta dan awam untuk merawat penyakit berkaitan tembakau. Di Malaysia, kos untuk tiga penyakit berkaitan merokok: penyakit jantung koronari, kanser paru-paru dan penyakit paru-paru kronik dalam tahun 2006 telah dianggarkan menelan lebih kurang RM3.5 bilion dari perbelanjaan kerajaan Malaysia untuk penjagaan kesihatan [2].

Kos Tidak Langsung

Kos tidak langsung adalah sebahagian jumlah kos rokok kepada perokok dan masyarakat. Kos tak langsung ditakrifkan sebagai kos lepas merokok. Perokok dan masyarakat perlu melepaskan peluang untuk membeli barangan lain kerana mereka memerlukan sumber tersebut untuk merawat penyakit yang berkaitan merokok. Sebagai contoh, jumlah wang yang dibelanja untuk merawat penyakit mengurangkan jumlah wang yang ada untuk membeli makanan berkhasiat.

Kos tidak langsung lebih sukar dianggar berbanding dengan kos langsung. Ia merujuk kepada kerugian bukan dalam bentuk nilai wang tetapi kerugian dalam bentuk sumber. Kos tidak lepas terdiri daripada nilai masa yang hilang disebabkan penyakit dan ketidakupayaan. Ia juga kerugian dari segi kehilangan produktiviti, kemusnahan disebabkan kebakaran, dan bahaya kepada alam sekitar disebabkan sampah rokok.

Kehilangan produktiviti diukur menerusi hari kehilangan bekerja disebabkan penyakit berkaitan rokok. Kos tidak langsung bagi kehilangan productiviti diukur berdasarkan berapa banyak seseorang akan memperolehi bayaran sekiranya dibayar di sepanjang ketidakhadirannya. sebagai contoh, sekiranya kadar upah sehari adalah RM200 dan dia tidak hadir bekerja selama dua minggu. Oleh itu kos tidak langsung bagi kehilangan produktiviti adalah RM2800. Nilai bilangan hari kerja yang hilang juga memberi kesan kepada majikan. Kos tidak langsung kepada majikan adalah apabila tugasan yang tidak lengkap dan peruntukan masa tambahan diperlukan untuk menyiapkan tugasan tersebut.

Perokok mempunyai kebarangkalian kadar kematian yang tinggi disebabkan bilangan penyakit yang berkaitan dengan rokok. Mereka mempunyai jangka hayat yang lebih pendek berbanding dengan bukan perokok. Hasil keputusan dari 50 tahun kajian menunjukkan satu hingga dua per tiga jangka hayat perokok akhirnya akan dibunuh oleh tabiat mereka [4].

Oleh itu, kos tidak langsung ditakrifkan sebagai nilai nyawa yang hilang akibat merokok menyebabkan kematian pramatang. Ia diukur dengan memberi nilai wang bagi kehidupan. Contoh, berapa jumlah wang yang sanggup dibayar untuk mengelak penyakit atau kematian.

Sebagai masyarakat, kita perlu membayar harga kerana pendedahan kepada asap rokok basi (secondhand smoke). Asap rokok basi menyebabkan kematian dan penyakit di kalangan orang yang tidak merokok. Kos tidak langsung menyedut ke atas asap rokok basi adalah kos rawatan bagi asap rokok basi dan kehilangan produktiviti disebabkan menghidapi penyakit berkaitan asap rokok basi.

Tambahan pula, rokok memberikan risiko yang tinggi menyebabkan kebakaran. Jutaan kebakaran adalah berpunca daripada rokok yang masih menyala dan ditinggalkan. Satu kebakaran disebabkan merokok bertanggungjawab untuk salah satu daripada kebakaran hutan terbesar dalam sejarah Kanada [1].

Kos memungut sampah puntung rokok juga adalah kos tidak langsung. Siapakah yang memungut sampah puntung rokok ini? Pekerja sekolah, taman, panggung wayang, kedai runcit dan lain-lain termasuk sukarelawan yang cintakan persekitaran. Kos tidak langsung adalah kos tenaga kerja yang diperlukan untuk memungut sampah tersebut.

Selain itu, kos tidak langsung berpunca daripada kehilangan hasil untuk kerajaan. Pelancong tidak akan berbelanja wang percutian mereka untuk melawat pantai atau taman-taman yang penuh dengan sampah seperti sampah puntung rokok.

Walau bagaimanapun, terdapat juga kos emosi. Pergantungan kepada rokok bagi penagih amat menyukarkan. Perokok akan menghadapi tekanan untuk berhenti merokok apabila sedar kesan buruk ke atas diri sendiri dan keluarga. Pemerhatian mendapati bahawa anak-anak perokok lebih cenderung untuk mengikut jejak langkah ibu bapa mereka berkenaan tabiat ketagihan ini.

Kajian mendapati kanak-kanak yang berusia 12 tahun di mana ibu bapanya merokok lebih dari dua kali sehari, berkemungkinan mula merokok setiap hari di antara umur 13 dan 21t ahun [5].

Ahli keluarga perokok secara umum dan kanak-kanak yang sedang membesar khususnya adalah lebih terdedah kepada gangguan emosi. Mereka mendapat perhatian yang kurang daripada perokok kerana perokok lebih banyak menghabiskan masa untuk merokok.

Secara kesimpulan, perokok menghadapi kos langsung dan tidak langsung sama ada dalam kos kewangan atau kos emosi. Sekotak rokok bukan sahaja mengeringkan saku anda tetapi juga kesihatan anda. Kos rokok secara tidak langsung memberi kesan ke atas keluarga anda, orang di sekitar anda dan masyarakat disebabkan asap rokok basi. Di samping itu, kehilangan hasil untuk kerajaan boleh mengakibatkan cukai yang lebih tinggi akan dikenakan ke atas generasi kini dan akan datang.

Rujukan

  1. AP, 2003-08-02. Author: Associated Press
  2. com, 2007. Smoking Related Diseases Burn RM3.5 Billion in Government Health Care. Malaysia. Accessed July 13, 2008. http://www.bernama.com/bernama/v3/news.
  3. The Tobacco Atlas “4th Edition” (2012)
  4. Richard Doll, (2004). “ Mortality in Relation to Smoking: 50 years’ observations on male British doctors” BMJ; 328:1519
  5. University of Washington News, 2005-09-28.

 

Semakan Akhir : 7 Februari 2017
Penulis : Dr. Norashidah binti Mohamed Nor
Akreditor : Dr. Sallehudin bin Abu Bakar

Baca Juga

Merokok Satu Amalan Yang Tidak Boleh Diterima Masyarakat

Pelbagai kempen melalui media massa telah dilaksanakan sejak bertahun-tahun lamanya dan usaha ini sepatutnya sudah …