Jumaat , September 22 2017
msen
Utama > Umum > Kesan Merokok > Kesan Merokok Terhadap Janin

Kesan Merokok Terhadap Janin

Apabila seseorang merokok, nikotin di dalam sebatang rokok akan meresap ke dalam darah dan bertindak merangsang ‘dopamine pathway’ yang berada di otak. Ini menyebabkan seseorang menjadi teruja dan bersemangat tinggi. Apabila kepekatan (jumlah kandungan) nikotin berkurangan di dalam darah dan otak, seseorang itu akan menjadi lesu dan tidak bersemangat.

Perasaan ini akan menyebabkan individu itu mengambil sebatang rokok lagi untuk menambah kembali kandungan nikotin di dalam darah untuk mengembalikan semula perasaan teruja dan keceriaan. Perbuatan berulang ini (futile cycle) menyebabkan individu tersebut bergantung kepada nikotin untuk memberikan kesan positif dan keterujaan untuk teruskan objektif kehidupan. Malangnya individu itu akan mendapati jarak masa antara sebatang rokok dengan sebatang lagi menjadi bertambah dekat. Lama-kelamaan ketagihan terhadap nikotin akan berlaku [1].

Nikotin bukan hanya memberi kesan terhadap kebergantungan kognitif (pemikiran) tetapi juga akan memberi kesan fizikal khususnya organ-organ dalaman. Setakat ini tiada kesan positif atau faedah saintifk yang diperolehi daripada tabiat merokok dan nikotin [1].

 Mengapa Merokok Berbahaya?

Rokok berbahaya kerana ketagihan nikotin yang boleh memberi kesan negatif terhadap psikologi. Tetapi yang paling penting adalah kesan karsinogenik yang terdapat di setiap batang rokok. Hal ini demikian kerana setiap batang rokok mempunyai lebih daripada 7000 bahan kimia yang boleh merosakkan sel badan [2]. Kerosakan sel akan menyebabkan kanser terutamanya kanser paru-paru. Kanser paru-paru adalah pembunuh ketiga bila dibandingkan dengan kanser-kanser lain di Malaysia [3].

Merokok bukan sahaja boleh mengakibatkan kanser malah ia juga boleh menyebabkan penyakit kronik kardiovaskular terutamanya sakit jantung. Perbuatan merokok boleh mengakibatkan salur darah tersumbat dan menyebabkan penyakit jantung koronari. Merokok adalah risiko utama kepada penyebab penyakit jantung koronari [4]. Punca kematian tertinggi secara keseluruhan di dunia adalah disebabkan oleh penyakit jantung koronari dan merokok merupakan sebab utama [4].

Apa Akan Terjadi Apabila Wanita Hamil Yang Merokok?

Apabila seseorang wanita hamil merokok, bahan-bahan kimia yang terdapat di dalam rokok akan masuk ke dalam salur darah dan mencemarkan kandungan cecair darah. Bahan-bahan ini akan meresap ke plasenta (uri) janin melalui salur-salur darah plasenta. Bayi mempunyai perhubungan terus dengan darah ibu dan bahan-bahan kimia toksin dari rokok akan meresap terus kepada bayi. Toksin daripada rokok akan meresap ke dalam salur darah bayi dan akan memberi kesan negatif kepadanya [5].

Tiada data sah prevalens merokok di kalangan wanita hamil di Malaysia, tetapi statistik luar negara menunjukkan sebanyak 20% wanita hamil merokok terutamanya di negara barat (Gambar 1) [5].

Merokok juga akan menyebabkan kekurangan bekalan oksigen kepada janin. Kekurangan bekalan oksigen disebabkan oleh salur darah ke janin dari plasenta menjadi sempit setelah terdedah kepada bahan-bahan toksin akibat daripada perbuatan merokok [6].

Tidak kira berapa banyak batang rokok yang dihisap sehari, kesan negatif ini masih boleh memberi impak buruk kepada janin.

 Kesan_Merokok_Terhadap_Janin

Gambar 1 : Taburan prevalens merokok semasa kehamilan di Wisconsin USA mengikut umur

Apakah Kesan Merokok Terhadap Janin?

Di antara kesan negatif dan berbahaya (detrimental) kepada janin adalah [7]:

  • Kekurangan bekalan oksigen dan pendedahan toksin kepada janin akan menyebabkanasphyxia (lemas) dan hypoxic ischemic encephalopathy – komplikasi otak yang boleh menyebabkan ‘tarik’ (seizure) dan kegagalan otak untuk berfungsi
  • Kekurangan bekalan oksigen dan pendedahan toksin kepada otak bayi boleh menyebabkan masalah pembelajaran
  • Kecacatan kongenital fizikal (congenital anomalies)
  • Berat lahir kurang daripada 2.5 kg (Intra Uterina Growth Retardation)
  • Kematian dalam rahim (Intra Uterine Death)
  • Kelahiran pramatang

Wanita merokok semasa hamil

Gambar 2 : Wanita merokok semasa hamil

Berat lahir kurang dari 2.5 kg(2)Berat lahir kurang dari 2.5 kg(1)

Gambar 3 : Berat lahir kurang dari 2.5 kg dan kelahiran pramatang

Apakah Bantuan Yang Boleh Diberikan Jika Seseorang Wanita Hamil Merokok?

Perokok wanita yang ingin hamil hendaklah mendapatkan perkhidmatan praperkahwinan (Pre Pregnancy Care – PPC). Wanita ini hendaklah berusaha berhenti merokok sebelum hamil. PPC boleh memberi bimbingan dan pertolongan kepada wanita untuk berhenti merokok. Antara perkhidmatan yang ditawarkan adalah :

  • Kaunseling berhenti merokok
  • Bimbingan psikologi
  • Rawatan gantian nikotin
  • Rawatan ubat-ubatan – (contohnya champix –varenicline tartrate)

Setiap wanita yang mendapatkan perkhidmatan di sebarang premis kesihatan hendaklah disaring untuk mengenal pasti fakta risiko kesihatan terutamanya tabiat merokok. Jika dikesan merokok, wanita-wanita ini hendaklah dirujuk kepada PPC dan diberi bimbingan untuk berhenti merokok. Langkah ini adalah sangat penting kepada perokok wanita yang berpotensi hamil. Tabiat merokok adalah amat merugikan kerana memberi kesan buruk kepada kesihatan perokok dan juga janin yang dikandung.

Apakah Langkah-Langkah Yang Perlu Diambil Oleh Seorang Wanita Hamil Yang Merokok?

  • Mendaftar kehamilan dengan segera ke premis kesihatan terdekat contohnya klinik kesihatan
  • Menjalani tatacara hidup sihat
  • Menghadiri klinik antenatal (kehamilan) secara berkala seperti yang yang telah ditetapkan oleh klinik dan hospital
  • Mematuhi janji temu pakar seperti yang telah diatur dan dijadualkan
  • Ibu hamil hendaklah mematuhi segala nasihat dan tunjuk ajar yang diberikan oleh pakar dan anggota kesihatan berkenaan

 Rujukan 

  1. Nicotine addiction. John R Polito; www.whyquit/linksaddiction: 7.00 pm 30 September 2013
  2. Harms of Smoking and Benefits of Quiting. National Institute of Cancer; http://www.cancer.gov/ cancertopics/factsheet/Tobacco/cessation – visited 10.34 pm 30 September 2013
  3. National Cancer Registry Malaysia 2003-2005
  4. Heart & Stroke Statistics. Circulation; 1 February 2011: e18-e209
  5. Smoking During Pregnancy What Are The Real Dangers; calorababy.co.za/pregnancy/ smoking/during/pregnancy – visited 1 October 2013
  6. The epidemiology of smoking during pregnancy: Smoking prevalence, maternal characteristics, and pregnancy outcomes. Nicotine Tob Res (2004) 6 (Suppl 2): S125-S140. doi: 10.1080/14622200410001669187http://ntr.oxfordjournals.org/content/6/Suppl_2/S125.short – visited 5 October 2013
  7. Smoking and pregnancy. 2003, Vol. 14, No. 5 , Pages 297-304. G. Ashmead
  8. Department of Obstetrics and Gynecology, Case Western Reserve University at MetroHealth Medical Center, Cleveland, Ohio, USA.http://informahealthcare.com/doi/abs/10.1080/ jmf.14.5.297.304?journalCode=jmf – visited 5 October 2013

 

Semakan Akhir : 7 Februari 2015
Penulis : Dr. Sri Wahyu binti Taher
Akreditor : Dr. Zarihah binti Mohd Zain