Sabtu , November 25 2017
msen
Utama > Jom Berhenti > Kenali Infoline Berhenti Merokok

Kenali Infoline Berhenti Merokok

Kempen Tak Nak Merokok yang dilancarkan oleh mantan Perdana Menteri, YAB Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2004 merupakan kempen media bagi meningkatkan kesedaran awam terhadap bahaya merokok kepada perokok dan individu yang terdedah kepada asap rokok.

Bagi memperkukuhkan perkhidmatan kesihatan sedia ada Kementerian Kesihatan Malaysia telah menubuhkan Infoline Berhenti Merokok yang bertujuan untuk memberi bantuan kepada perokok dan ahli keluarga dengan memberi maklumat, khidmat nasihat, tips berhenti merokok dan rujukan ke perkhidmatan berhenti merokok. Ianya mula beroperasi pada Januari 2007. Talian 03-8883 4400 telah diperkenalkan kepada masyarakat Malaysia melalui paparan di setiap kempen media melalui media massa sama ada iklan di televisyen, radio, majalah dan akhbar.

Talian Infoline Berhenti Merokok ini telah diperluaskan promosinya melalui cetakan bersama amaran kesihatan bergambar di kotak rokok. Pada tahun 2008 kerajaan telah mewajibkan syarikat pengeluar rokok untuk mencetak nombor telefon Infoline Berhenti Merokok di setiap unit paket rokok.

Contoh Amaran Bergambar dan nombor telefon Infoline Berhenti Merokok di kotak rokok1Contoh Amaran Bergambar dan nombor telefon Infoline Berhenti Merokok di kotak rokok3Contoh Amaran Bergambar dan nombor telefon Infoline Berhenti Merokok di kotak rokok2

Contoh Amaran Bergambar dan nombor telefon Infoline Berhenti Merokok di kotak rokok.

Khidmat Infoline Berhenti Merokok beroperasi setiap hari bekerja dari Isnin hingga Jumaat dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Talian 03-8883 4400 menjadi saluran kepada perokok dan ahli keluarga untuk mendapatkan maklumat dan tips berhenti merokok yang boleh dilakukan oleh perokok dengan sokongan ahli keluarga dan rakan-rakan.

Skop Perkhidmatan Infoline Berhenti Merokok adalah mengendalikan panggilan masuk dan pesanan suara (voicemail);

  • Daripada orang awam yang ingin mengetahui tentang khidmat berhenti merokok yang ditawarkan oleh KKM.
  • Menerangkan tentang Khidmat Berhenti Merokok (KBM) yang disediakan di klinik kesihatan dan hospital di seluruh negara.
  • Memberikan tips untuk berhenti merokok kepada pemanggil yang ingin berhenti merokok.
  • Mengesyorkan klinik kesihatan dan hospital yang paling hampir dengan tempat tinggal pemanggil. Contoh: Jika pemanggil tinggal di Puchong, pengendali boleh mengesyorkan pemanggil untuk mengunjungi Hospital Serdang atau Hospital Putrajaya untuk khidmat berhenti merokok.
  • Menghantar kit berhenti merokok (risalah dan panduan berhenti merokok) kepada pemanggil jika diminta.

Setiap panggilan yang diterima akan melalui proses yang telah diprogramkan seperti berikut :

  • Panggilan masuk.
  • Panggilan dijawab oleh petugas. Jika petugas sedang menjawab panggilan lain, panggilan itu akan dihantar ke sistem pesanan suara yang memaklumkan talian sedang sibuk.
  • Dalam tempoh 8 saat, panggilan akan dijawab sekiranya petugas telah menamatkan panggilan pertamanya.
  • Sekiranya panggilan tersebut tidak dijawab dalam masa 8 saat, panggilan akan dihalakan ke sistem pesanan suara di mana pemanggil boleh memilih untuk meninggalkan pesanan.
  • Semua panggilan di luar waktu bekerja (8 pagi – 5 petang) akan terus dihalakan ke sistem pesanan suara.

Pemanggil boleh memilih untuk meninggalkan pesanan di mana petugas akan menghubunginya semula dalam tempoh 24 jam masa bekerja. Sekiranya panggilan dibuat pada hari cuti am atau hari cuti umum, petugas akan menghubungi semula pada hari bekerja berikutnya.

Pegawai Infoline Berhenti Merokok sedang memberi khidmat nasihat kepada pemanggil

Pegawai Infoline Berhenti Merokok sedang memberi khidmat nasihat kepada pemanggil.

Selain mendapatkan maklumat asas pemanggil, pegawai bertugas akan merujuk pemanggil ke klinik kesihatan atau hospital berdekatan. Pemanggil akan melalui sesi kaunseling dan terapi ubat-ubatan setelah melalui sesi saringan kesihatan.

Rujukan

  1. Risalah Infoline Berhenti Merokok, KKM 2008
  2. SOP Infoline Berhenti Merokok, KKM

 

Semakan Akhir : 7 Februari 2015
Penulis : Rosnani binti Kassim
Akreditor : Dr. Zarihah binti Mohd Zain