Sabtu , November 25 2017
msen
Utama > Kesan > Bebaskan Wanita Daripada Asap Rokok

Bebaskan Wanita Daripada Asap Rokok

Keluarga bebas asap rokokGambar 1 : Keluarga bebas asap rokok

Kementerian Kesihatan memberikan penekanan kepada persekitaran yang bersih, sihat, segar dan selesa serta udara bebas asap rokok. Oleh itu, kempen media Tak Nak Merokok diteruskan dengan memberi fokus kepada kumpulan bukan perokok khususnya kanak-kanak dan wanita.

Kumpulan bukan perokok merupakan kumpulan majoriti yang mempunyai hak untuk hidup bebas daripada asap rokok. Malangnya mereka sering diancam menjadi perokok pasif apabila terdedah kepada asap rokok. Mereka mempunyai lebihan risiko 30% untuk mendapat kanser paru-paru dan 25% untuk mendapat penyakit jantung [1].

Global Adult Tobacco Survey (GATS) 2011

Berdasarkan Global Adult Tobacco Survey (GATS) 2011, didapati bahawa lebih 40 peratus daripada 4.7 juta rakyat dewasa Malaysia adalah perokok.

Hanya satu peratus wanita dewasa Malaysia yang merokok. Walaupun peratusannya rendah, satu dalam tiga wanita dewasa adalah terdedah kepada asap rokok basi di rumah dan dua daripada setiap tiga orang pula (68.4 peratus) terdedah kepada asap rokok basi di restoran.

Unjuran Global Perokok Wanita 2020

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi unjuran bahawa kadar perokok 2020 berasaskan model negara maju adalah seperti berikut :

  • Kadar keseluruhan perokok – 20%
  • Anggaran bilangan perokok – 4.6 juta
  • Kadar perokok lelaki – 30%
  • Kadar perokok perempuan – 10%

Perokok Wanita Bergaya Atau Terpedaya ?

Fenomena wanita merokok seakan-akan menjadi satu kelaziman dewasa ini, di mana sangat mudah untuk melihat wanita merokok di kawasan awam, tidak terkecuali golongan wanita professional. Ini mungkin ada kaitan dengan strategi pemasaran industri rokok yang mensasarkan golongan wanita.

Penghasilan rokok berperisa menarik minat wanita untuk cuba merokok. Selain itu terdapat juga rokok dalam bungkusan berwarna lembut seperti merah jambu dengan batang rokok runcing (slim) dan bersaiz umpama kotak gincu membuatkan rokok lebih dekat dengan hati wanita.

Tiga daripada 20 perokok wanita memilih rokok berperisa menthol (mentholated cigarettes) dan satu daripada 20 perokok wanita merokok menghisap rokok berperisa cengkih [2]. Mereka mempercayai amalan ini mampu mengekalkan kelangsingan badan agar kelihatan anggun, cantik dan menawan. Dengan menghisap rokok, mereka menganggap diri menjadi lebih bergaya dan berstatus mewah. Tanggapan ini adalah salah. Usah terpedaya!

Kesan Tembakau Terhadap Tubuh Wanita

Kesan buruk akibat merokok atau menyedut asap rokok sangat mempengaruhi fizikal, mental dan sosial seseorang wanita. Seorang wanita yang merokok secara pasif mempunyai pertambahan risiko sebanyak 30% untuk menghidap kanser paru-paru dan lebihan 50% pula untuk diserang penyakit jantung, jika suaminya merokok [3].

Perokok wanita lebih cenderung untuk menjadi tertekan dan kurang keyakinan diri kerana gigi kuning dan nafas berbau. Proses penuaan juga dipercepatkan kerana kulit mudah kering dan berkedut. Sebenarnya kelangsingan badan yang diidamkan wanita hanya akan berkesan melalui diet pemakanan yang baik dan kekerapan aktiviti fizikal yang bersesuaian.

Merokok semasa hamil mengancam bayi dalam kandungan ibu di mana kesihatan janin boleh terjejas teruk sehingga boleh menyebabkan keguguran. Ibu juga berisiko melahirkan bayi tidak cukup bulan, cacat anggota, dan kurang berat badan serta kematian bayi dalam rahim [4].

Bebaskan_Wanita_Daripada_Asap_Rokok

Gambar 2: Kesan tembakau terhadap tubuh seorang wanita

Wanita Nadi Keluarga

Wanita merupakan nadi dan tulang belakang sesebuah keluarga. Mereka merupakan golongan yang berdiri sama tinggi dengan golongan lelaki untuk membangunkan ekonomi dan sahsiah keluarga. Peranan wanita dalam memartabatkan keluarga amat penting. Wanita yang sihat akan melahirkan generasi bukan perokok.

Wanita perlu menjadi role model/ terbaik dalam memastikan persekitaran bebas asap rokok pada diri dan keluarga mereka melalui perkara berikut :

  • Amalkan cara hidup sihat. Jangan merokok dan jika merokok berusahalah untuk berhenti.
  • Berhak menegur ahli keluarga untuk tidak merokok atau sekurang-kurangnya tidak merokok di dalam rumah.
  • Berani mengatakan tidak sekiranya suami atau pasangan meminta anda membelikan rokok.
  • Jangan sesekali mengizinkan anak anda membeli rokok untuk sesiapa pun.
  • Tidak menyediakan tempat habuk rokok di rumah.
  • Memberikan sokongan kepada suami atau pasangan yang ingin berhenti merokok.
  • Memilih premis, hotel dan tempat makan yang merupakan zon larangan merokok.
  • Melarang suami merokok di dalam kenderaan.
  • Bincang tentang kebaikan tidak merokok daripada sudut kesihatan dan pembaziran wang.
  • Ramai remaja merokok kerana ingin mencuba, merasai pengalaman baru atau kelihatan dewasa. Jelaskan bahawa tanggapan ini adalah salah.
  • Berikan kaunseling, bukannya memarahi atau menghukum.
  • Galakkan penglibatan anak-anak dengan kempen atau kelab antimerokok di sekolah.

Rujukan

 1,3   Risalah Johor Bebas Asap Rokok, 2012

2     Maizurah. O et. al. International Tobacco Control (ITC) – Malaysia 2005

4     U.S. Department of Health and Human Services. Women and Smoking—A Report of the Surgeon General. Atlanta, GA: U.S. Department of Health and Human Services, Centers for Disease Control and Prevention, National Center for Chronic Disease Prevention and Health Promotion, Office on Smoking and Health, 2001.

5     “How Tobacco Affects Your Body“, by the Office on Women’s Health in the Office of the Assistant Secretary for Health.

 

Semakan Akhir : 7 Februari 2015
Penulis : Irene Faridah binti Ismail
Akreditor : Dr. Zarihah binti Mohd Zain

Baca Juga

Peranan Dan Tanggungjawab Ibu Bapa

Di era sains dan teknologi yang semakin mencabar ini, ibu bapa sebagai pemimpin keluarga menghadapi …