Sabtu , November 25 2017
msen
Utama > Kesan > Kanak-kanak > Demi Kanak-Kanak

Demi Kanak-Kanak

Kanak-kanak Sihat

Gambar 1 : Kanak-kanak Sihat

Perkembangan kanak-kanak daripada segi ilmu dan kemahiran dibentuk melalui pelbagai cara seperti melalui pusat penjagaan kanak-kanak, tadika, sekolah, media elektronik seperti radio dan televisyen, dan juga medium alaf baru, internet. Saluran maklumat yang pelbagai ini mampu mempengaruhi cita rasa, gaya hidup dan perubahan nilai hidup seorang kanak-kanak.

Di era globalisasi ini, kanak-kanak akan lebih terdedah kepada pelbagai maklumat sama ada negatif ataupun positif. Pemantauan ibu bapa secara kerap dan berterusan amat penting bagi memastikan saluran dan maklumat yang diterima selari dengan kehendak pembentukan sahsiah kanak-kanak, dengan kata lain kanak-kanak perlu didedahkan dengan maklumat yang positif.

Kanak-Kanak Berpotensi Meniru

Kajian oleh Helgason (2001) menilai sikap ibu bapa terhadap pendedahan asap rokok (PAR) terhadap anak-anak mereka yang berumur antara 3- 5 tahun. Sejumlah 5,500 ibu atau bapa yang merokok telah dipilih secara rawak di beberapa negara iaitu Sweden, Norway, Denmark, Iceland, dan Finland.

Kajian mendapati bahawa dua daripada tiga atau 66% orang perokok tidak sedar kesan PAR terhadap kesihatan anak kecil mereka. Mereka juga tidak sedar bahawa anak-anak mereka mempunyai potensi meniru tabiat merokok [1].

Pakar Perubatan Promotif dan Perunding Kesihatan Perilaku, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Khalib Abdul Latiff menyifatkan merokok sebagai amalan ikut-ikutan. Apatah lagi jika ia dipamerkan oleh model kepimpinan seperti ibu bapa, ketua, guru, profesional di bidang perubatan mahu pun selebriti. Kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa yang merokok lebih cenderung mencontohi tabiat buruk ini apabila mereka meningkat dewasa kelak.

Firman Allah s.w.t. : “Wahai orang-orang yang beriman. Peliharalah diri dan keluarga kamu dari api neraka” (At- Tahrim: 6). “Allah mewariskan ke atas kamu tentang anak-anak kamu” (An- Nisa’ : 11). Hadith Rasullullah s.a.w. : “Tiada seorang ayah yang memberikan anaknya suatu pemberian lebih baik daripada adab yang mulia” (At- Tarmidzi). “Ajarilah anak-anak kamu dan keluarga kamu kebaikan, dan lengkapkanlah mereka dengan adab” (Abdul Razzak & Said Mansur).

Ibu bapa adalah orang yang paling hampir dan dekat dengan anak-anak. Justeru itu, didikan awal kanak-kanak perlu diberi penekanan oleh setiap anggota keluarga.

Pengawasan ibu bapa bukan sahaja di peringkat awal tetapi berterusan hingga remaja dan dewasa. Ini penting kerana anak-anak akan berasa diri mereka sentiasa diberi perhatian sekaligus mengawal mereka daripada melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya.

Pengaruh Industri Rokok Terhadap Kanak-Kanak

Di Malaysia, kawalan penggunaan tembakau dijalankan di peringkat awal lagi iaitu melalui pendidikan kesihatan di sekolah-sekolah. Pendekatan awal ini amat berguna bagi membendung amalan merokok di usia muda.

Namun terdapat usaha pengusaha industri rokok untuk mempengaruhi kanak-kanak melalui penjualan gula-gula rokok. Gula-gula ini dijenamakan dengan jenama-jenama rokok yang terkenal seperti Marlboro, Kent, Camel dan rokok 888. Ia disusun bersama-sama produk makanan lain untuk kanak-kanak.

Memang tidak mustahil untuk gula-gula jenis ini menjadi pilihan golongan kanak-kanak yang mahu berketrampilan seperti orang dewasa.

Utusan Borneo Isnin, Julai 30, 2012

Sumber : Utusan Borneo Isnin, Julai 30, 2012

Fizikal dan Sosial Kanak-Kanak Terganggu

Ibu bapa yang merokok bukan sahaja meletakkan anak-anak mereka kepada bahaya penyakit tertentu akibat merokok, tetapi juga kemungkinan bagi kecacatan anggota serta menggugat pertumbuhan fizikal dan minda ahli keluarga mereka sendiri.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan anggaran 40 peratus kanak-kanak di seluruh dunia terdedah kepada kesan asap rokok basi di rumah dan 31 peratus daripada kematian terkait kesan asap rokok basi terdiri daripada golongan ini. Kanak-kanak terutamanya lebih terdedah kepada kesan fizikal dan sosial akibat asap rokok kerana pada peringkat umur ini mereka sangat rentan terhadap jangkitan [2].

Kesan fizikal terhadap pendedahan asap rokok basi adalah seperti berikut

  • Mata kanak-kanak yang terdedah kepada asap rokok secara kerap akan mudah berair dan lebih kerap berkedip.
  • Kerosakan otak dan mental di mana pada jangka masa panjang membawa kepada tumor otak.
  • Saluran pernafasan juga akan merosot dan berlaku gejala pernafasan kronik seperti batuk, kahak, asma/ lelah, dan jangkitan paru-paru.
  • Rambut berbau.
  • Jangkitan di telinga.
  • Peningkatan risiko penyakit jantung.
  • Melecur atau terbakar dalam kebakaran yang berpunca daripada bara rokok.

Kesan sosial yang sering berlaku adalah seperti berikut

  • Perkembangan kecerdasan mungkin terjejas.
  • Tidak hadir ke sekolah kerana kekerapan jatuh sakit.
  • Masalah dalam pembelajaran seperti ponteng sekolah dan pencapaian akademik yang tidak begitu menyerlah.
  • Ketagihan kepada rokok dalam usia muda.
  • Risiko menjadi perokok meningkat kerana individu yang terdedah kepada budaya merokok di rumah oleh ibu bapa dan keluarga adalah satu setengah kali ganda lebih berisiko untuk turut merokok.
  • Berketrampilan yang kurang elok seperti nafas, serta pakaian sentiasa berbau dan gigi kekuningan.
  • Terlibat dalam keruntuhan moral seperti dadah, aktiviti liar lain dan jenayah.

Langkah-langkah Untuk Menjauhi Kanak-Kanak Daripada Bahaya Asap Rokok

  • Berbincang dengan baik tanpa mewujudkan perasaan takut dihukum.
  • Sentiasa berbual tentang bahaya asap rokok kerana kanak-kanak pada usia muda juga memahami bahawa rokok adalah bahaya kepada tubuh badan seseorang.
  • Sentiasa bertanya anak-anak tentang apa yang menyenangkan dan tidak menyenangkan tentang merokok. Jadi pendengar yang baik dan sabar.
  • Luangkan masa membaca, menonton televisyen dan wayang bersama anak-anak. Bandingkan iklan-iklan rokok yang dilihat dengan dunia sebenar.
  • Anak-anak perlu digalakkan untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang dapat mengelakkan mereka daripada terlibat dengan gejala merokok.
  • Sentiasa tunjukkan keprihatinan dan penghargaan kepada idea dan pandangan anak-anak.
  • Melatih anak-anak untuk mengatakan ‘Tak Nak’ sekiranya menerima ajakan untuk merokok daripada kawan-kawan mereka, atau menggunakan kata-kata seperti ‘baju saya akan berbau busuk’.
  • Menghargai perkara positif yang dilakukan anak-anak berbanding negatif bagi meningkatkan keyakinan mereka terhadap rakan-rakan.
  • Mengalakkan anak-anak agar menjauhi rakan-rakan yang tidak menghormati keputusan mereka untuk tidak merokok.
  • Memberi penjelasan tentang kerugian yang ditanggung kerajaan untuk menampung pesakit akibat merokok daripada segi kos perubatan dan pemulihan.
  • Tegas dalam melarang anak-anak merokok di dalam rumah atau membawa rakan-rakan yang merokok ke rumah.

Langkah-langkah Untuk Menjauhi Kanak-Kanak Daripada Bahaya Asap Rokok

Rujukan

  1. Kids Health from Nemours
  2. Risalah Johor Bebas Asap Rokok, 2012
  3. Tob Induc Dis. 2003 Sep 15; 1 (3): 175- 83. Does having children affect adult smoking prevalence and behaviours at home? Johansson A, Halling A; LinQuest Study Group. Division of Paediatrics, Department of Molecular and Clinical Medicine, Linköping University, Linköping Sweden. anjoh@imv.liu.se.

Kuiz

  1. Kanak-kanak yang terdedah awal kepada asap rokok berpotensi untuk menghisap rokok di usia muda.
  1. Betul
  2. Salah

Jawapan : A. Betul

  1. Apakah tindakan ibu bapa sekiranya mendapati anak-anak merokok?
  1. Memarahi dan merotan anak
  2. Berbincang tentang kebaikan dan keburukan akibat merokok

Jawapan : B. Berbincang tentang kebaikan dan keburukan akibat merokok

  1. Ketagihan merokok boleh membawa kepada ketagihan dadah
  1. Setuju
  2. Tidak setuju

Jawapan : A. Setuju

Baca Juga

Peranan Dan Tanggungjawab Ibu Bapa

Di era sains dan teknologi yang semakin mencabar ini, ibu bapa sebagai pemimpin keluarga menghadapi …